ASSALAMUALAIKUM..

Bulan Syaaban adalah antara bulan yang mulia di sisi Allah. Ianya merupakan gerbang kepada bulan Ramadhan yang membawa keberkatan, nikmat dan kesejahteraan bagi umat Islam. Rasulullah banyak berpuasa sunat dalam bulan yang mulia ini di samping menggalakkan umatnya melipatgandakan amal ibadat.

Namun, di negara kita, kedatangan bulan syaaban tidak begitu diraikan. Ramai antara kita begitu leka, lalai dan alpa dengan urusan dunia. Kita gagal dalam merebut ganjaran dan kelebihan yang Allah sediakan sepanjang bulan Syaaban ini. Mengapakah kita tidak mengambil kesempatan untuk beramal ibadat sebanyak mungkin?

Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah Taala dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Kerana hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik dari sebelumnya. Sebagai muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya. Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Di mana ada saat-saat tertentu yang mempunyai fadhilat yang khusus dan jika tidak diambil kesempatan untuk memanfaatkannya akan berlalu begitu sahaja serta tiada peluang lagi untuk dikembalikan.

Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya. Antaranya ialah :- Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban.

Bagi mereka yang ingin berpuasa di bulan Syaaban sebaiknya dimulakan dari awal bulan Syaaban kerana terdapat larangan berpuasa dihujung Syaaban bagi mereka yang tidak pernah berpuasa di awalnya. Ini berdasarkan satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda: Apabila sudah tinggal separuh dari bulan Syaaban maka janganlah kamu berpuasa. Berdasarkan hadis ini para ulama menyatakan adalah ditegah jika seseorang berpuasa di hujung Syaaban kerana ingin menyambungnya terus dengan puasa di bulan Ramadan.

Berkenaan dengan hikmah atau rahsia menunaikan ibadah di bulan Syaaban, terdapat hadis-hadis sahih yang menceritakannya. Antaranya ialah:
Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana kamu berpuasa pada bulan Syaaban. Jawab Nabi s.a.w: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban). Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekalian alam dan aku suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa. Hadis riwayat Imam Nasai dan Imam Ahmad.

Bentuk perlaksanaan ibadah pada bulan Syaaban adalah merupakan satu kebebasan kepada umat Islam tanpa dikhususkan kepada amalan-amalan tertentu atau dengan cara yang tertentu. Oleh itu di samping ibadah puasa, bolehlah juga dilakukan amalan-amalan lain seperti bersedekah, berzikir, qiamullail dan sebagainya.

Di samping itu, elok juga di bulan Syaaban ini kita membuat persiapan bagi menyambut ketibaan bulan yang penuh barakah iaitu bulan Ramadan. Pada kebiasanya umat Islam menghias rumah dan membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan Hariraya Aidilfitri sebaliknya persiapan Ramadan tidak diambil berat. Sedangkan hariraya cuma sehari, puasa Ramadan pula sebulan lamanya. Sebaiknya bulan Syaaban dibuat persediaan bagi menempuh Ramadan. Persiapan samada dari sudut rohaniah yakni dengan membiasakan diri dengan puasa dan ibadah lain di samping persiapan fizikal seperti menghias rumah, menyediakan pakaian baru dan mengadakan ruang khusus untuk beribadat di rumah. Bulan Syaaban juga elok dijadikan sebagai saat untuk bertaubat dan memohon keampunan daripada Allah Taala dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.

Syaaban adalah satu bulan hijrah yang mempunyai keistimewaan tersendiri serta dianggap pintu gerbang Ramadan yang penuh berkat.

Walllahua’lam