Assalamualaikum warahmatullah..
Salam ramadhan buat semua.

Kesempatan ini saya mengambil peluang mengucapkan selamat berpuasa kepada semua. Moga-moga amalan kita berlipat kaliganda pada bulan yang berkat ini. Kali ini juga marilah kita perhatikan bersama adab2 berbuka puasa yang mungkin ada antara kita melupainya :-

ADAB-ADAB BERBUKA PUASA

1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu.
2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air.
Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. Daripada Anas r.a, katanya : “Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air.
3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan.
Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat.
4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.
Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya : “Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan”.(Surah al-`Araf:31). Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut : “Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”(Riwayat Tirmizi)
5. Berdoa ketika berbuka.
Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.: “Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” (Riwayat Ibn Majah)

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat iaitu untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.

Amiiinn ya rabbal a’lamin
Wallhua’lam