Muka depan akhbar harian pada hari rata-ratanya melaporkan mengenai tragedi bas ekspress yang cukup menyayatkan hati kita. Seramai 20 orang terbunuh, manakala 10 yang lain cedera, apabila sebuah bas ekspres terbabas sebelum terjunam ke dalam sebuah parit di KM 229 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Bukit Gantang, Taiping kira-kira pukul 4.48 pagi semalam. “Ini kemalangan paling buruk dalam sejarah negara,” kata menteri berkenaan. Tragedi tersebut adalah yang terburuk dan terbesar angka maut yang dicatatkan selepas tahun 2003 yang mengorbankan 14 nyawa dan mencederakan 28 penumpang apabila dua buah bas bertembung di Jalan Kuala Lipis-Merapoh, Kuala Lipis, Pahang pada November 2003.

Mereka telah terkorban. Yang tinggal hanyalah kita.

Nasihat saya kepada pemandu yang lain dan diri sendiri, prihatinlah kepada pengguna jalan raya yang lain. Walaupun tragedi berkenaan tidak melibatkan perlanggaran dengan kenderaan yang lain, namun ada pemandu yang menganggap bahawa mereka adalah raja di jalan raya, lebih-lebih lagi lori & bas. Tanyalah diri kita sendiri. Apa yang kita rasa sekiranya yang terkorban merupakan ahli keluarga yang kita sayangi. Insiden tersebut cukup menyentuh hati dan saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah kepada semua mangsa yang terlibat.

AL FATIHAH…

 

Advertisements