Muqaddimah

Topik pilihanraya umum ke – 12 (PRU 12),  tiba-tiba menjadi semakin popular meniti di bibir setiap aktivis PAS di semua peringkat di Kelantan.  Adakah ini petanda baik kepada PARTI PAS atas kesedaran yang sedang melanda setiap petugas di semua peringkat atau pun sebaliknya.  Sama-sama kita tunggu hasilnya nanti..

Walau apapun tanggapan mahupun andaian, umum telah mengetahui siren PRU 12 telahpun dibunyikan oleh Presiden UMNO selepas mesyuarat MT UMNO baru-baru ini.  Walaupun alasannya ialah untuk menangguhkan persidangan UMNO yang di jangka berlaku pada bulan Oktober 2007 nanti, cukuplah memberi isyarat kepada semua parti politik di Malaysia supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi PRU 12 lebih awal dari cukup tempoh penggal PRU 11.  Sebab itulah, mengikut perkiraan dan andaian politik penulis, PRU 12 akan berlaku di sekitar bulan Julai 2007 hingga sebelum April 2008. Jika ramalan penulis ini benar maka setiap parti yang akan bertanding dalam PRU 12 nanti hanya mempunyai masa lebih kurang 10 bulan ke 14 bulan dari sekarang.  Adakah setiap parti telah bersedia ? Tepuk dada tanyalah jentera pilihanraya masing-masing.

Gerak kerja UMNO

Berdasarkan kepada pandangan mata kasar penulis, UMNO Kelantan juga telah membuat persiapan yang terancang pada kali ini untuk merampas Kelantan dari tangan PAS.  Kesungguhan ini dapat di lihat dari gerak kerja yang di buat oleh pimpinan UMNO sendiri iaitu :

  • Program keluargaku ahli UMNO, di mana untuk memastikan setiap ahli UMNO yang berdaftar mestilah memastikan semua keluarga mendaftar juga sebagai ahli UMNO.
  • Gerakan daftar pemilih yang dikelolakan oleh pejabat perhubungan UMNO sendiri melalui pertugas khas sebagaimana diumumkan oleh Dato’ Seri Anuar Musa selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
  • Peruntukan yang besar lebih dari 7 billion diluluskan untuk Kelantan dalam pembentangan Budget RMK ke 9.  Mewar-warkan segala bentuk projek yang akan dilaksanakan di Kelantan. Kaedah dan pendekatan baru yang diperkenalkan oleh UMNO Kelantan iaitu kaedah berjasa dulu untuk meraih sokongan rakyat Kelantan kemudiannya.
  • Pengisytiharan Bahagian Angkat setiap Bahagian yang ada di Kelantan kepada setiap Badan Perhubungan UMNO setiap negeri. Walaupun ini sebenarnya menandakan ketidakpercayaan pimpinan UMNO Malaysia kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan dalam usaha merampas Kelantan sebagaimana yang terjadi semasa PRK Pengkalan Pasir di mana Pengarah pilihanrayanya diambil alih pimpinan tertingggi UMNO.
  • Seruan dari Ketua Pemuda UMNO Malaysia kepada semua jentera pemuda UMNO di semua peringkat supaya menumpukan gerak kerja  daftar pemilih di seluruh negara.
  •  Menteri Pengajian Tinggi telah mengarahkan semua TNC HEP di seluruh Universiti supaya menggunakan seluruh pelajar Universiti untuk membantu UMNO dalam program anak angkat bagi setiap Universiti yang akan di buat di Kelantan. Pertemua itu yang di buat di Hotel Renaissen juga telah dihadiri oleh YB Dato’ Seri Anuar Musa. Walaupun ada yang mempersoalkan kewajaran pengerusi UMNO Kelantan berada di situ.
  • Menangguhkan pemilihan UMNO selepas PRU 12 untuk mengelakkan masalah dalaman yang semakin hangat dalam UMNO khasnya perbalahan di antara Bekas Presiden UMNO dengan Presiden UMNO serta menantunya.
  • Di jangka banyak lagi taktik dan strategi kotor serta jahat yang UMNO akan lakukan demi menjayakan misi mereka untuk merampas Kelantan dari tangan PAS pada PRU 12.

Gerak kerja PAS

Mengikut pandangan mata kasar penulis, PAS Kelantan juga telah mengambil langkah yang pro-aktif untuk memastikan Kerajaan Kelantan kekal di perintah oleh PAS dengan majoriti 2/3 DUN, di antara beberapa gerak kerja yang ketahui umum di Kelantan iaitu :

  •  PAS telah mewar-warkan kepada semua peringkat ahli parti supaya memperkemaskan semua jenteranya untuk persiapan menghadapi PRU 12 pada bila-bila masa dari sekarang. Dengan meletakkan target pembubaran Parlimen seawal bulan Julai 2007 dan selewatnya bulan April 2008.
  • Gerakan daftar pemilih yang dilakukan oleh jentera PAS di seluruh negeri juga menampakkan peningkatan hasil yang meyakinkan kepada pimpinan dan jentera.
  • Memperbanyakkan program yang melibatkan golongan wanita dan orang muda.  Sambutan yang di terima amat menggalakkan serta menunjukkan mereka masih lagi bersama dan menyokong  kepimpinan PAS untuk meneruskan pemerintahan negeri dalam  PRU 12.
  • Mengisytiharkan MPKB sebagai Bandaraya Islam (MPKB-BRI) untuk mempromosikan sebuah masyarakat Islam yang diidam-idamkan oleh Kerajaan PAS jika di beri kesempatan untuk memerintah Malaysia.
  • Menyelesaikan sebanyak mungkin masalah yang dihadapi oleh rakyat melalui peningkatan belanjawan Kerajaan Negeri bagi tahun 2007.
  • Membuat kajian demi kajian mengenalpasti sikap dan hasrat rakyat kepada kerajaan PAS.

Cabaran Semasa PARTI PAS

Memang diketahui umum rakyat negeri Kelantan sukar untuk diramalkan pendirian mereka secara jelas.  Fenomena yang belum pernah berlaku sebelum ini telah pun berlaku semasa PRU ke 11 pada tahun 2004, di mana rakyat Kelantan seoleh memberi signal bahawa mereka benar-benar inginkan pemimpin yang boleh memberikan khidmat yang terbaik.  Mereka sanggup mengundi PAS di DUN manakala mengundi UMNO di Parlimen begitulah sebaliknya.  Trend ini amat ketara berlaku pada tahun 2004 hampir di keseluruhan kawasan PRU di Kelantan.

Rakyat Kelantan juga sedang menunggu untuk melihat sebuah kerangka dan hasil yang lebih konkrit serta perlu diupgradekan dari slogan MEMBANGUN BERSAMA ISLAM yang telah dicanangkan selama 15 tahun yang lalu bagi menghadapi cabaran ke arah MEMAJUKAN KELANTAN BERSAMA ISLAM untuk tempoh 15 ke 20 tahun akan datang pula. Mempertahankan slogan “Kepimpinan Ulama” sebagai peneraju kepada kepimpinan Kerajaan dan Parti khasnya di Kelantan.  Tunggak kepimpinan ini mampu mengikat rakyat untuk bersama dengan PAS dalam PRU ke 12 dan seterusnya.

Cadangan Langkah mengatasinya

 Adalah diharapkan kepimpinan PAS pusat dapat memainkan peranan yang pro-aktif dalam menentukan sebarang keputusan politik di Kelantan untuk menampakkan kepada ahli parti bahawa PARTI benar-benar menguasai Kerajaan. Sebarang keputusan yang dikeluarkan oleh pucuk pimpinan adalah muktamad dan perlu dipatuhi oleh setiap ahli parti.  Sekiranya mengingkari keputusan tersebut pihak pimpinan perlu mengambil tindakan yang lebih aggresif sekiranya terpaksa seperti mengmbil tindakan disiplin serta menggantung keahlian individu terbabit.

Bagi menghadapi cabaran PRU ke 12 nanti, sekiranya pimpinan meletakkan harapan untuk mengekalkan kemenangan di Kelantan dengan majoriti 2/3 maka dicadangkan pimpinan PAS perlu berani membuat rombakan mengenai calon yang akan bertanding mestilah terdiri dari muka baru sebagaimana UMNO Terengganu dan Kelantan yang berani membuat rombakan calon mereka dalam PRU 11 tahun 2004 baru-baru ini.  Sekiranya mereka yang berjuang sekular berani membuat perubahan maka apalah kurangnya PAS yang ingin membawa perjuangan Islam mestilah lebih berani untuk berubah demi kebaikan Islam itu sendiri.

Selain itu juga, dicadangkan supaya KONSEP KEPIMPINAN ULAMA diperjelaskan dengan sejelas-jelasnya kepada ahli parti dan rakyat supaya mereka benar-benar memahami apakah konsep dan ciri-cirinya.  Sebagaimana kita tahu bahawa era New Millenium ini rata-rata kepimpinan yang menerajui kepimpinan kerajaan Islam di seluruh dunia adalah terdiri dari golongan muda yang mempunyai fikrah dan misi perjuangan Islam yang jelas contohnya di Iran bermula dari zaman jubah dan serban yang diasaskan oleh Ayatullah Khomeini sehingga sekarang diteruskan oleh seorang yang berseluar dan tidak berserban iaitu Ahmadi Nejat.  Begitu juga di Turki dan Palestin di pimpin oleh parti yang di  lihat lebih moderat Islamik.  Hizbullah di Lubnan di ketuai oleh seorang ulama muda lingkungan umur 40 ke bawah. Begitu juga parti Keadilan Rakyat (PKR) di Indonesia juga di terajui oleh golongan muda. Apalah salahnya parti PAS membuat kajian kepada fenomena ini serta mangadaptasikan penggunaan ke dalam parti PAS bagi mana-mana elemen yang sesuai dan boleh diterima oleh ahli parti PAS khasnya dan semua rakyat Malaysia Amnya bagi meneruskan keberlangsungan dan kerelevanan parti PAS di dalam arus perdana persada politik tanahair dan dunia.

Penutup

Sebagai kesimpulannya demi memastikan hasil yang manis untuk dikecapi oleh  semua pihak, PAS perlu sedia berubah dan berkorban kerana KEMENANGAN PAS DALAM PILIHANRAYA UMUM KE 12 NANTI BUKAN SATU KEMENANGAN YANG MUDAH TETAPI  KEMENANGAN YANG BERSYARAT..

 

MOHAMAD NURI MAT YAACOB
 
LOT 2059, Kg Dewan Beta, 15100, Kota Bharu, Kelantan (013-9952598)
Penulis pernah membuat tesis tahun akhir yang bertajuk :
PERUBAHAN SOSIO-POLITIK NEGERI KELANTAN : SATU KAJIAN KES DI KAWASAN DUN SALOR

Advertisements