selamatmalaysiagif.png

Alhamdulillah, Saya mengambil kesempatan ini merakamkan ucapan..

“Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-50” kepada seluruh lapisan rakyat terutamanya jentera pemuda PAS dengan iringan doa semoga hari-hari bakal mendatang ini menjanjikan penuh kesejahteraan dan kemakmuran.

Bagi kita secara umumnya, yang setiap tahun menyambut upacara ini, seolah-olah mengulang tayang kembali nostalgia silam yang merakamkan detik-detik bersejarah perjuangan menuntut kemerdekaan. Serentak dengan itu juga ia membawa satu imbasan kenangan dan memori pejuang-pejuang kemerdekaan dari semua pihak.

Tetapi…persoalannya, kenapa hanya pemimpin UMNO yang diagung-agungkan saban hari sebagai pejuang kemerdekaan. Kenapa mereka tidak mengiktiraf peranan yang telah dimainkan oleh personaliti dan pemimpin seperti Prof. Zulkifli Muhamad, Ishak Hj Muhammad dan juga tokoh-tokoh ulama yang lain. Mereka juga perlu di ketengahkan tanpa menafikan pengorbanan dan peranan mereka dalam dalam memperjuangkan kemerdekaan negara ini.

Hari kemerdekaan bagi negara yang berdaulat dan bebas dari belenggu penjajahan asing sememangnya menjadi kemegahan dan simbol kepada kedaulatan negara bangsa tersebut. Namun merdeka dalam ertikata yang sebenar ialah bebas daripada rasuah, maksiat, kejahilan dan kebodohan.

Kita perlu muhasabah diri sendiri. Apakah yang kita banggakan?

Keruntuhan dan kepincangan moral yang melanda remaja dan kanak-kanak sekolah semakin menampakkan gejala ini telah sampai ke peringkat krisis dan barah yang sukar untuk dikawal lagi dan ia merentasi seluruh lapisan kaum. Adakah ini namanya merdeka?

Sambil kita berslogan menyambut tarikh keramat 31 Ogos, rakyat biasa sedang menyaksikan dengan rasa benci bagaimana segelintir kelompok tertentu sahaja, yang berada di kalangan mereka yang berkuasa, menikmati kekayaan negara tanpa hentinya. Penyelewengan kuasa yang berlaku secara berterusan. Golongan miskin semakin terpinggir.

Justeru itu, ketika menyambut Hari Kebangsaan kali ini, marilah kita bertekad dan berazam untuk terus berjuang menyelamatkan negara kita. (ALLAHUAKBAR)

Mengisi sebuah kemerdekaan itu, lebih susah rasanya dari menuntut sebuah kemerdekaan – mohdnuri, 31/8/07

 

 

Advertisements