21.jpg

 

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar

Marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberikan kita peluang untuk bersama-sama menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan datang nanti dengan penuh bermakna. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi SAW yang tercinta, para keluarga dan sahabat yang telah sama-sama berjuang untuk menegakkan Islam nan suci ini.

Muslimin muslimat yang dikasihi sekalian,

Di saat kegembiraan dan keriangan berhari raya janganlah pula kita terlupa tentang nasib mereka yang kurang berkemampuan. Anak-anak dan isteri yang telah kehilangan bapa dan suami tempat bergantung harapan, orang-orang tua di sekeliling kita yang tidak mempunyai sesiapa dalam hidup mereka. Bahkan hanya menagih simpati masyarakat dan jiran. Hulurkan bantuan seadanya kepada mereka sebagai tanda bahawa mereka tidak pernah dipinggirkan dalam suasana ceria ini.

Buat perantau yang dirindui,

Selamat kembali ke bumi Kelantan, tanah serendah sekebun bunga bagi menyambut hari lebaran yang mulia. Doa saya semoga anda semua selamat tiba ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat sejahtera. Dalam keseronokan menyambut hari raya pada kali ini, adalah diharapkan semoga anda semua tidak melupakan sama sekali tanggungjawab yang lebih besar iaitu MENGUNDI PADA PRU KE 12 NANTI. Marilah kita sama-sama pertahankan Kerajaan Islam PAS Kelantan walau apa cara sekalipun.

Kepada isteri, anak-anak serta bonda dan keluarga yang tercinta,

Selamat menyambut Aidilfitri dengan penuh meriah dan sederhana. Pengorbanan kalian dalam menyokong dan mendokong segala gerak kerja ini amat dihargai. Semoga ikatan kasih sayang kita semua akan bertambah erat dan berkekalan sehingga ke akhirat.

Akhir kalam,

Buat semua yang mengenali diri ini, disusun sepuluh jari pohon kemaafan seandainya semasa melawat blog ini ada perkara yang mengguris perasaan. Doakan semoga Allah terus memberikan kekuatan kepada saya untuk meneruskan perjuangan menegakkan Kalimah Allah ini sehingga ke hari kiamat. Amin.

Sekian, wassalam
Dari Al-Faqir Ilallah, MOHAMAD NURI MAT YAACOB
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Kubang Kerian

Advertisements