Assalamualaikum dan Salam Keberkatan syawal.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana telah diberi kesempatan oleh Allah swt untuk kembali menulis setelah bercuti menyambut lebaran.
Lebaran tiba lagi. Saat ini, sebagaimana lazim, kita merayakannya dalam suasana yang riang dan gembira. Amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi, bersama sanak saudara dan sahabat handai. Semoga kita menyambut Aidilfitri ini mengikut seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan.

Antara perkara yang dianjurkan oleh syara’ itu ialah :-

  • Bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan sewajarnya dilakukan dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.
  • Kunjung mengunjung, ianya merupakan tanda persaudaraan dan silaturrahim. Mengujudkan hubungan silaturrahim ini merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mengujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala.
  • Menyambut dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahu pun pakaian, jangan sampai wujud pembaziran yang akan menyebabkan kita menanggung beban dikemudian hari. Hari raya ini bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah.
  • Janganlah hendaknya ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan.

Syawal ini, marilah kita rayakan dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan. Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu.

Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :

  • Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang bertentangan dengan syariat.
  • Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan sifat belas ihsan.
  • Kesungguhan beribadat kepada Allah
  • Sifat suka berjemaah di masjid.
  • Sifat tabah sabar dan tahan diuji serta lain-lain lagi.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.

Advertisements