Alhamdulillah, sinar Zulhijjah menjengah lagi. Membawa bersamanya sejuta keberkatan untuk kita semua. Kesempatan ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat di negara ini. Buat jemaah haji di tanah suci terutamanya kenalan rapat saya rakamkan juga ucapan selamat menunaikan rukun islam yang kelima. Semoga selamat dan beroleh haji yang mabrur.

Seperti biasa ada kalangan kita yang berkemampuan akan melakukan ibadah korban seperti yang dituntut oleh agama. Pada zahirnya, sesetengah kita melihat bahawa ianya hanyalah setakat menyembelih haiwan korban dan mengagihkannya kepada fakir miskin. Namun sedarkah kita bahawa, ianya lebih dari itu. Sebenarnya, ada banyak lagi semangat dan pengajaran dari ibadah korban di dalam Islam. Sedarkah kita bahawa ianya juga termasuk berkorban mengeluarkan zakat ke atas harta dan pendapatan bagi yang mampu mengikut kiraan tertentu agar kekayaan itu turut dapat dimanfaatkan oleh yang miskin.

Sebenarnya, kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam. Begitulah indahnya agama Islam. Ianya mengajar kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t. dan berkorban untuk membantu yang miskin dan menginsafi nasib mereka yang lebih daif dengan melakukan kebajikan agar yang miskin tidak terpinggir. Dari sini dapatlah kita mempelajari bahawa ajaran Islam memupuk satu masyarakat yang prihatin, penyayang dan saling bantu-membantu antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan warna kulit.

adha.jpg

Korban juga membawa makna yang lebih daripada itu. Islam menyeru umatnya supaya sentiasa bersatu padu dan mengelakkan daripada perpecahan agar nasib umat Islam sentiasa terbela dan martabat agama Islam itu sendiri akan terus terpelihara. Kita harus mengetepikan segala kepentingan diri bagi kebaikan masyarakat kita. Kita dapat lihat bagaimana perpecahan umat Islam di dunia hari ini telah mengakibatkan kita lemah dan mudah ditekan. Umat Islam semakin ditindas. Kebanyakan negara Islam tidak maju, mundur dan miskin, yang mana ini menyebabkan kita sukar untuk membela saudara seagama kita daripada penganiayaan musuh-musuh Islam. Di hari yang mulia bakal tiba nanti, sedang jemaah haji sibuk menyempurnakan ibadah rukun Islam yang kelima, marilah kita bersama-sama menyempurnakan tugas dan tanggungjawab kita sebagai orang Islam yang patuh kepada ajaran Allah s.w.t. dengan merapatkan semangat jemaah dan mengikat hubungan silaturahim sesama kita.

Sekali lagi saya dan keluarga saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua terutamanya warga Kubang Kerian. Allahu akbar

Advertisements