Assalamualaikum..

Baru-baru ini, saya telah dihubungi oleh seorang sahabat yang menceritakan ada sebuah blog yang sedang memburukkan nama institusi PASTI dan juga nama saya yang dikaitkan secara peribadi. Mulanya agak hairan juga, kenapa sampai begitu sekali, lama juga saya berfikir. Namun, akhirnya saya percaya inilah kebebasan media yang ada dan kita bebas meluahkan apa saja. Bagi saya, dari menjawab isu yang sengaja ditimbulkan itu, ada baiknya dibicarakan isu yang lebih besar yang melibatkan masalah ummah. Saya menganggapkan blog tersebut ibarat batu kerikil di jalanan, memperjuangkan kebenaran dan keadilan itu lebih penting setelah kita yakin dengan perjuangan ini. Sesetengahnya, ada yang perlu di ambil tahu dan begitu juga sebaliknya. Terkadang, makin di layan, semakin teruk suasana yang bakal timbul.

isa.jpg

ISA (Internal Security Act)

Isu besar yang saya maksudkan ialah ISA. Dimana ianya telah digunakan oleh pihak kerajaan UMNO dari dulu lagi untuk menyelesaikan masalah penentang terhadap dasar-dasarnya. Seperti juga pendirian pimpinan yang lain, saya mengutuk keras penggunaan ISA kerana ianya menyalahi hak asasi manusia dan juga bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri. Setiap yang bersalah harus dihadapkan ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan secara adil dan dibuktikan di mahkamah bahawa mereka bersalah barulah boleh dipenjarakan atau di tahan. Islam sendiri telah mengajar kita bahawa setiap yang bersalah mestilah dibuktikan bersalah barulah boleh dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Ia telah mencengkam, menghantui dan menghancurkan kehidupan rakyat yang ingin mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin yang kotor. Bahang undang undang yang kejam ini sentiasa dirasai kerana penahanan tanpa bicara di dalam mahkamah, tanpa bukti yang kukuh dan tanpa memerlukan syarat yang nyata amatlah lumrah sekali. Mangsanya boleh ditahan untuk selama-lamanya mengikut selera dan nafsu diktator yang sanggup mengorbankan kedaulatan rakyat dan melelongkan demokrasi, keadilan dan kebebasan. Pemimpin-pemimpin ini sudah terperangkap ke dalam neraka jahanam dan sanggup mempertuhankan keganasan yang mengekalkan kuasa, harta dan pengaruh.

SUATU PENGKHIANATAN

Sebenarnya pucuk pimpinan politik adalah ahli kepada kapitalis tempatan dan antarabangsa. Kesetiaan inilah yang menyebabkan yang kaya menjadi kaya raya dan miskin menjadi papa kedana. Pemimpin-pemimpin politik ini sanggup mengkhianati Perlembagaan Negara yang berasaskan kepada keadilan yang luhur dan tidak segan silu menghina kehakiman. Sepatutnya tugas kehakiman adalah untuk mengimbangkan kuasa atau membetulkan ketidakadilan yang berlaku di dalam masyarakat. Malangnya keyakinan rakyat terhadap dunia kehakiman di dalam negara sudah makin pudar. Apa yang sudah berlaku adalah pemerintah sudah ketandusan ikhtiar dan berpaut kepada kuasa ISA untuk menghalalkan pentadbirannya, mengugut rakyat, menguasai minda dan ragam hidup rakyat. Pendekkata pemimpin politik negara sudah takut dengan bayang-bayang sendiri dan cuba menghancurkan naluri kemanusiaan. Kini mereka sibuk menggunakan ISA untuk menjatuhkan saingan politik masing-masing di dalam dan di luar parti agar dapat mengekalkan kekayaan, pengaruh dan kuasa mereka. Justeru itu mereka sudah mula menghayati sifat penjajah moden.

PRINSIP

Sedangkan prinsip Islam itu sendiri, dimana hukuman yang dikenakan kepada pesalah walaupun tidak didunia tetapi di akhirat kelak tidak akan terlepas sama sekali. Untuk itu juga, PAS telah menawarkan kepada rakyat Malaysia yang cintakan negara bahawa sekiranya memerintah, maka ISA akan dihapuskan sama sekali. Rakyat yang bersalah akan di adili sebaiknya melalui proses undang-undang Islam yang terbukti adil. Kepada rakyat yang mencintai demokrasi, keadilan dan kebebasan, bersatulah pulihkan negara yang tercinta ini dari cengkaman dan serangan diktator dan pemimpin-pemimpin politik yang ganas, keji dan kapitalis itu.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA

p/s : Setulus ingatan buat mangsa ISA & pimpinan yg ditahan baru-baru ini, saya bersama anda!

Advertisements