Sumber asal : Harakah Daily

KOTA BHARU, 28 Dis (Hrkh) – Sebanyak RM7.6 juta telah dibayar kerajaan negeri kepada pencarum skim Takaful Kifaalah sejak dilancarkan awal tahun ini yang melibatkan kematian lebih 3,000 warga emas di seluruh Kelantan. Presiden Kelab Sukarelawan Tabung Amanah Tok Kenali, A Shukor Tahir berkata, secara purata seramai 302 kematian sebulan atau 10 kematian sehari direkodkan sejak skim takaful itu diperkenalkan.

Sehingga Oktober lalu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan kerjasama Tabung Amanah Tok Kenali berjaya mendaftarkan 72 peratus atau 99,363 warga emas daripada kira-kira 140,000 warga emas di seluruh Kelantan, katanya di majlis penyampaian manfaat dan Kad Kifaalah Dun Salor dekat sini, baru-baru ini. Pada majlis itu, seramai 200 warga emas Dun Salor menerima kad Takaful Kifaalah. A Shukor juga berkata, bagi memudahkan keluarga (wasi) pencarum menuntut manfaat Takaful Kifaalah, kerajaan negeri mengambil inisiatif mengeluarkan kad khas kepada setiap warga emas yang mendaftar. Katanya, kad-kad itu diagihkan kepada warga emas secara berperingkat-peringkat mengikut Dun dan sehingga kini sebanyak 29,820 Kad Takaful Kifaalah sudah diserahkan.

Di TUMPAT pula seramai 33 orang wasi warga emas di Dun Kelaboran yang meninggal dunia pada Oktober dan November lalu, menerima cek manfaat sebanyak RM2,000 setiap seorang. Manakala di Dun Bukit Panau (16 wasi), Dun Gual Ipoh (2 wasi), Dun Tendong (2 wasi) dan Dun Pengkalan Pasir (seorang wasi) turut menerima cek manfaat masing-masing sebanyak RM2,000 yang disampaikan Adun dan Penyelia Dun terbabit.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian, Mohd Nuri Mat Yaacob berkata, budaya berbelanja mewah dengan wang rakyat sudah sebati dengan kehidupan pemimpin Barisan Nasional (BN). Ini dapat dilihat apabila Menteri Besar Negeri Sembilan dikatakan membelanjakan RM3 juta hanya untuk ubahsuai dapur rumah rasminya. Duit sebanyak itu dihabiskan hanya untuk kegunaan seorang Menteri Besar di Negeri Sembilan, sedangkan di Kelantan RM3 juta dibelanjakan Menteri Besar bagi faedah kepada 140,000 rakyatnya yang berumur 60 tahun ke atas, katanya.

Advertisements