ASSALAMUALAIKUM..

Sesi persekolahan 2008 telah bermula secara rasminya di Kelantan pada 2 Januari 2008 yang lepas. Serentak dengan itu juga, keputusan peperiksaan PMR, PMRU, SMU juga telah diumumkan. Seperti biasa dan sudah menjadi lumrah alam, ada yang berjaya serta gembira dan ada juga yang sebaliknya bersedih dengan keputusan yang diterima.

ALIRAN

Bagi yang berjaya, telah pun memasang angan-angan memohon belajar di sekolah yang lebih baik bagi meneruskan pengajian dalam bidang yang lebih mencabar seperti aliran sains, teknik, vokasional dan lain-lain. Malah, tidak kurang juga ada yang telah berputus asa (give up) sehingga sanggup memilih aliran yang berbeza dan diluar kemampuan masing-masing dengan alasan tidak mampu untuk mengikuti pengajian sediada. Beginilah asam garam yang berlaku di alam persekolahan. Kadangkala ianya cukup sukar untuk dipilih serta amat memeritkan sehingga ianya betul-betul mematangkan kita untuk menjadi seorang insan yang berguna di dunia dan akhirat. Bagi pihak sekolah pula, inilah masa yang kritikal kerana ramai pelajar, samada yang cemerlang ataupun tidak, pastinya akan memohon untuk bertukar ke sekolah lain dengan pelbagai alasan yang tersendiri.

YURAN

Namun, apa yang lebih menarik perhatian ialah mengenai kadar yuran tambahan yang diwar-warkan oleh Kementerian Pelajaran bahawa ianya hanya boleh di kutip tidak melebihi RM 55 sahaja. Tetapi, sebaliknya yang berlaku. Kenyataan tersebut di lihat lebih bersifat politik ataupun cuba mencari publisiti murahan demi memancing undi rakyat. Kenapa saya berhujah sedemikian? Kerana yang pastinya apabila ibu bapa mendaftar anak-anak, rata-rata pihak pentadbiran sekolah tidak menghiraukan kenyataan tersebut. Pekeliling tersebut hanyalah dipandang enteng, di mana bayaran yang dikenakan kepada setiap pelajar telah melebihi RM 100 dengan pelbagai jenis bayaran tambahan yang dikenakan. Bayaran pakej paling minima yang dikenakan oleh pihak Kementerian sebanyak RM 23.00 pada tahun ini, berbanding tahun lepas ialah sebanyak RM 21.00. Kenaikan sebanyak RM2 berbanding tahun lepas.

LANTANG

Di manakah kelantangan suara pihak kementerian yang berdegar-degar bak halilintar sewaktu mengumumkan kebajikan kepada rakyat dengan memansuhkan yuran sekolah bagi meringankan bebanan rakyat. Pecayalah, ini mainan politik pemerintah namun yang menyedihkan pula, rakyat bagai terus rela, pasrah diperlakukan sewenang-wenang oleh mereka.

SINIS & PERANAN MEDIA

Mungkin bagi mereka yang berada, isu ini hanyalah biasa sahaja dan tiada guna dibicarakan. Namun, bagi rakyat marhaen, amat memeritkan. Seorang sahabat telah menceritakan, beliau terkejut apabila dimaklumkan mengenai kadar yuran sekolah anaknya, dengan itu sinis pihak sekolah berkata tak banyak.. dan tak sampai seratus pun! Beliau terkejut, bukankah bajet yang dibentangkan dulu telah memansuhkan yuran persekolahan! Kata mereka “ PENDIDIKAN KITA PERCUMA, RAKYAT PATUT BERSYUKUR!!. Gegak gempita pula akhbar utama negara membuat liputan luar biasa betapa pendidikan kita adalah percuma. Setelah dikaji, yuran yang di ‘hapus’ kan tu hanyalah RM4.50 sahaja. (Piirahh.. 😦 )

PERUBAHAN

Percayalah, perkara ini perlu dibawa ketengah berulangkali supaya rakyat mempunyai kesedaran terhadap nasib dan masa depan rakyat untuk 50 tahun akan datang. Sepertimana yang saya bicarakan sebelum ini, rakyat perlu berani untuk membuat perubahan. Tepuk dada tanyalah hati, sanggupkah kita berkorban untuk merubah keadaan dengan memilih kerajaan alternatif untuk memerintah negara demi kebajikan dan kesejahteraan masa depan anak cucu kita 50 tahun akan datang ??

Advertisements