Assalamualaikum

Alhamdulillah.. Dengan izinNya fajar 10 Muharram menjengah lagi. Hadir bersamanya berjuta rahmat dari Allah, tuhan sekelian alam. Namun begitu, berapa ramaikah antara kita kini yang menyedari tentang kehadiran & fadhilatnya dalam islam.

Hari Asyura (10 Muharram) itu diambil dari perkataan ‘Asyarah’ yang bermaksud sepuluh atau dalam ertikata lain, hari yang ke sepuluh bulan Muharram. Adalah sunat kepada kita untuk melakukan beberapa ibadat pada 10 muharram, antaranya ialah :- melapangkan masa dgn keluarga, memuliakan fakir miskin, menahan marah, mengusap kepala anak yatim, bersedekah dan sebagainya. Persoalnnya, berapa ramaikah dikalangan kita yang memuliakan 10 Muharram? Berapa orangkah anak muda, apatah lagi mereka yang dewasa melakukan amalan sunat di hari ini?

10 muharram juga merupakan musim bubur asyura yang begitu popular di kalangan kita. Teringat semas kecil, di mana boleh dikatakan setiap kampung akan mengadakan program mengacau bubur asyura. Perhatikan sahaja gelagat kanak-kanak yang menunggu bubur masak dengan karenah masing-masing. Erat di tangan tempurung kelapa yang telah dibersihkan, berlari riang dikeliling kawah panas, menanti masaknya bubur dan apabila masak mereka berebut-rebut pula untuk mendapatkan bubur asyura tersebut. Apa tidaknya, makan ketika panas amat sedap rasanya berbanding ketika bubur itu sejuk.

Di sebalik rakyat jelata sibuk membuat bubur asyura, saya berharap agar rakyat tidak akan melupakan tanggungjawab mereka untuk melihat negara Malaysia yang tercinta ini ditadbir oleh pemimpin yang bebas dari korupsi, rasuah, salah guna kuasa, kuat seks, menzalimi rakyat dengan pelbagai kenaikan harga dan lain-lain penindasan. Saya berharap agar rakyat sedar dengan kuasa UNDI yang mereka ada. Gunakan Kuasa Undi yang ada di tangan rakyat untuk menentukan masa depan negara. Kerajaan UMNO BN kini semakin tersepit dengan pelbagai isu yang nampaknya lebih memihak kepada pembangkang.

Sekaranglah masa yang paling sesuai untuk merubah kerajaan yang ada kepada sebuah kerajaan yang lebih berkredebiliti dan bertanggungjawab serta menjaga kebajikan rakyat. Satu demi satu isu yang di dakwa oleh BA nampaknya terpaksa diakui kebenarannya oleh pihak kerajaan. Kes yang paling hangat sekarang ialah pita video VK Linggam yang mengatur kedudukan hakim di negara kita. Pada awalnya cuba disembunyikan tetapi oleh kerana desakan demi desakan maka kerajaan terpaksa akur dengan kebenaran dakwaan tersebut. Namun apa yang membimbangkan saya dan rakan-rakan ialah VK Linggam akan dibersihkan oleh mahkamah dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah sebagaimana alasan yang digunakan oleh hakim untuk membersihkan timbalan menteri dalam negeri dan ketua polis negara. Inilah trend yang ada kepada kerajaan paklah iaitu membenarkan pendakwaan dilakukan secara telus dan terbuka dengan mendapat liputan media yang luas namun kemudiannya membersihkan semula dengan perancangan yang cukup teliti sehinggakan rakyat akan merasakan bahawa ketelusan kerajaan paklah dalam mengambil tindakan kepada mereka yang bersalah seolah-olah Paklah tidak campur tangan.

Kepada seluruh rakyat Malaysia, marilah kita jadikan tarikh 10 muharram tarikh keramat dengan penuh keazaman untuk memastikan negara malaysia tercinta benar-benar akan berhijrah dari sebuah negara yang penuh kegelapan kepada sebuah negara yang bercahaya, dari sebuah negara yang menzalimi dan menindas rakyat kepada sebuah negara yang aman dan berkebajikan, dari sebuah negara yang penuh dengan perbuatan maksiat kepada sebuah negara yang sejahtera, dari sebuah negara yang ditadbir oleh golongan sekular kepada sebuah negara yang di tadbir oleh pecinta Islam. Semuanya ini, Insyaallah akan terhasil dengan kekuatan semangat, usaha dan doa dari kita semua yang telah berikrar bahawa sesungguhnya sembahyangku, amalanku, hidupku, matiku hanyalah untuk Allah iaitu Tuhan Semesta Alam. Buat rakyat, jangan takut untuk mengubah kerajaan untuk kebaikan anak cucu kita akan datang. Kita harus berani berubah untuk mencari sebuah kerajaan yang lebih baik sebagaimana tawaran dari Barisan Alternatif dengan janji untuk mentadbir negara ini dengan lebih baik berbanding kerajaan BN yang telah memerintah 50 tahun dan terbukti penuh dengan gejala yang tidak sihat sehingga mendatangkan perlbagai kesusahan kepada rakyat.

Buat pecinta kebenaran, Marilah kita sedarkan rakyat dengan keringat dan kekuatan yang masih dikurniakan bahawa hanya ada satu sahaja jalan yang lurus yang perlu dipilih oleh setiap manusia untuk menuju kepada kehidupan yang kekal abadi. Kita mesti mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW 1429 tahun yang lalu. Hanya itu saja jalan yang akan menjanjikan kebahagian kita di dunia dan akhirat. Inilah yang cuba diperjuangkan oleh PAS untuk membawa rakyat Malaysia ke dunia yang penuh dengan keamanan dari gejala negatif dan paling penting dunia yang akan mendapat keredhaan Allah SWT.

p/s : Selagi rakyat tak mahu berubah, Nampaknya bertambah ubanlah di kepala saya kerana memikirkan masalah ummah 🙂

Advertisements