ASSALAMUALAIKUM..

Terima kasih diucapkan kepada saudara Amar PCB & Saiful Pasir Mas kerana sudi menjengah blog saya yang biasa ini. Terima kasih juga kerana sudi memberikan beberapa persoalan. Saya kira anda berdua adalah manusia yang ‘berkiblatkan’ UMNO serta berkemungkinan besar juga adalah orang yang sama. Walaupun nama berbeza namun IP anda ialah 60.53.3.45. Satu tempat! Walaubagaimanapun, saya kecewa kerana anda berdua bertanya soalan secara tidak cerdik & membuta tuli. Saya akan cuba menjawab satu persatu persoalan anda berdua mengikut susunan sendiri :-

Soalan 1 : Mengenai pembangunan

Pembangunan bagaimanakah yg anda inginkan? Pembangunan rohanikah? atau materialkah? Saya yakin anda inginkan pembangunan rohani kerana ianya lebih menjamin tempat anda di ‘sana’ nanti. Kalau anda melihat dengan menggunakan mata yang dianugerahkan oleh Allah dan bukannya dengan mata UMNO, tentunya melihat dgn jelas perkembangan pembangunan yang berlaku di negeri Kelantan yang begitu jauh berbeza berbanding dengan PAS mula-mula memerintah Kelantan 1990. Beberapa pasaraya besar (hypermarket) telah didirikan. Sehingga yang terbaru ialah TESCO dan juga Mydin Emporium yang sanggup melabur berjuta-juta ringgit untuk membina pasar borong terbesar di Bandar Baru Tunjung. Apakah mereka semuanya orang gila yang membina pasaraya tanpa memikirkan keuntungan kepada syarikat? Tidak cukup dengan itu lagi, cuba buka mata seluas-luasnya, sekitar bandar Kota Bharu. Semuanya ada, dari rumah kedai yang biasa hinggalah kepada kondominium mewah. Perhatikan saja!

Soalan ke 2 : Peruntukkan kepada warga emas

Anda tidak memahami cerita saya. Anda bertanya seperti budak-budak yang baru pandai mengira matematik. RM 3 juta yang saya maksudkan ialah untuk membiayai insuran takaful kifalah yang mana hasilnya dapat dimanafaatkan oleh 130 ribu keluarga di Kelantan. Bukannya untuk dibahagikan duit setiap orang. Adakah ayah atau ibu anda belum mendaftarkan diri di bawah skim tersebut. Kalau belum, silalah daftar.

Bandingkan jumlah tersebut dengan apa yang menteri ‘haprak’ anda buat? Tanyalah MB Negeri Sembilan! Jumlah 3 juta itu hanyalah untuk membaiki dapur rumah sahaja. Lagipun, sila sebut kerajaan UMNO negeri manakah yang sanggup memperuntukkan sebegitu untuk rakyatnya kecuali Kerajaan Kelantan, Negeri Berkebajikan.

Soalan 3 : 80 Kerusi bertanding…

PAS telah menawarkan satu debat terbuka kepada UMNO untuk membincangkan halatuju negara ke arah melaksanakan tuntutan islam. Namun tiada sebarang jawapan yang diterima. PAS juga sanggup dibubarkan jika UMNO sanggup mengubah perlembagaan dengan menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan bukannya sekadar agama ritual sahaja. Oleh kerana teras kepada pemerintahan di Malaysia adalah UMNO maka bagi PAS memenangi semua kerusi atau pun sekadar melebihi kerusi yang dimenangi oleh UMNO sudah cukup untuk menarik kaum lain untuk membentuk kerajaan campuran. Mengikut keputusan mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS pula bekerjasama dengan orang lain untuk meninggikan kalimah Allah adalah dibolehkan sebagaimana Rasulullah SAW memohon pertolongan orang kafir untuk menjayakan misi hijrahnya untuk menegakkan Kalimah Allah di atas muka bumi.

Soalan 4 : Bandaraya Islam

Salahkah PAS untuk menamakan Kota Bharu sebagai sebuah bandaraya Islam? Sebagaimana Perlis Darussunnah? Saya akui memanglah untuk mendidik rakyat amat susah. Sesungguhnya tahap kebersihan telah cuba dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Pelbagai usaha dari mendidik rakyat kepada penguatkuasaan telah pun di buat dengan kuasa yang ada kepada sebuah MPKB. Namun, kita yakin usaha yang berterusan akan mampu untuk mengubah tabiat manusia sedikit demi sedikit. Berilah masa kami untuk membuktikannya.

Soalan 5 : Gejala sosial yang meningkat...

Anda barangkali nampak kuman di seberang laut, tapi gajah depan mata tidak kelihatan. Kami telahpun melakukan apa sahaja yang termampu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri untuk menutup semua pintu-pintu maksiat dari menular kepada rakyat kelantan. Cubalah anda cari wujudkah kelab malam, gro, penjualan arak secara terbuka, konsert rock, rumah urut dan sebagainya di Kelantan? Bagaimanapun, diakui juga negeri ini bukannya kalis, kalau adapun maksiat yg berlaku grafnya rendah berbanding negeri lain.

Namun begitu, segala usaha kadangkala gagal kerana undang-undang yang diamalkan di peringkat pusat tidak selaras dengan apa yang diamalkan oleh kerajaan negeri. Pengerusi Keselamatan Negeri Kelantan juga tidak memberikan kuasa penuh kepada Menteri Besar menyebabkan polis dan askar tidak boleh diarahkan untuk membendung gejala sosial yang semakin meningkat. Saya yakin jika PAS di beri kuasa untuk memerintah Malaysia maka ianya akan diselaraskan.

Soalan 6 : Kenaikan harga barang

Anda tahukah punca kenaikan harga barang kerana apa? Harga barang naik kerana harga minyak dinaikkan. Apa yang kita hairankan ialah negara kita pengeluar minyak utama tetapi kenapa masih dicaj dengan begitu mahal berbanding dengan negara pengeluar yang lain. Perhatikan tindakan Arab Saudi, apabila harga minyak dunia semakin meninggi maka harga minyak di negaranya di turunkan. Mengikut maklumat yang diterima minyak di negara Arab Saudi sekarang ialah 0.45 sen seliter.

Akhirnya.. saya lihat kenapa anda begitu anti dengan Kelantan? Kenapa anda begitu mencumburui dengan hasrat kami yang bersungguh-sungguh ingin melaksanakan islam? Kenapa tidak anda bersama kami bagi melaksanakan tuntutan islam yang sebenar dalam mentadbir negeri. Adakah perlaksanaan yang UMNO buat lebih baik? Kalau betul, kenapa masih ada lagi maksiat, arak, judi, pesta seks, rasuah, samun, bunuh dan sebagainya. Kalaulah perlaksanaannya bersungguh-sungguh, nescaya semua ini paling tidak pun akan berkurangan. Tapi, apa yang dilihat, perlaksanaan islam yang cuba anda & UMNO terapkan lebih bersifat politik murahan, caca merba, hangat-hangat tahi ayam sahaja. Apa guna masjid kristal, kalau jemaahnya buta, apa guna masjid besar, kalau jemaahnya sering tersasar.

Wallahua’lam

Advertisements