ASSALAMUALAIKUM & SALAM SEJAHTERA

TEKA TEKI

Alkisahnya, Pak Lah bersabda lagi. Penuh gah, bagai tuanku di atas singgahsana. Titahnya kini kian lantang lagi. Sabdanya kelmarin bahawa beliau sudah mempunyai ilham tetapi tarikhnya belum pasti. Secara tidak langsung, ianya telah menambahkan lagi debaran jantung setiap rakyat Malaysia yang layak untuk menunaikan tanggungjawab memilih sebuah kerajaan yang adil, bersih dan berkebajikan.

Manakala, UMNO Kelantan pula sudah menyerahkan senarai calon dan manifesto kepada PM. Sekaligus membuktikan seolah-olah mereka sudah bersiap sedia untuk merampas Kelantan dari PAS. Apa yang melucukan saya ialah ucapan Dato’ Annuar Musa yang menegaskan bahawa UMNO tidak akan membalas dendam terhadap penyokong PAS, akan membaiki prasarana masjid dan lain lagi janji manis sekiranya UMNO menang di Kelantan pada PRU 12.

Satu saja persoalannya. Boleh percaya ke janji beliau? Apapun, sejarah masih segar dalam minda kita. Sewaktu Dato’ Annuar Musa jadi menteri dahulu, yang jaga peruntukan untuk rakyat miskin. Siapa yang sanggup kebas? Hakikatnya, usah ‘ralit’ menabur janji mahu tolong orang susah, kalau nasib diri terkontang-kanting.

GONG XI FA CHAI

Lupakan pula soal Annuar Musa. Bersama pula kini kita rayakan bersama Tahun Baru Cina yang tiba lagi, hadir bersama dengan demam pilihanraya yang kian panas membara. Buat kaum cina dalam Parlimen Kubang Kerian khasnya saya ucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru China 2008.

Saat kita riang menyambut perayaan ini, janganlah pula dilupakan dengan pilihanraya yang kian hampir. Tiada halangan diantara kita untuk bersatu padu bagi mempertahankan Kerajaan Kelantan, Negeri Berkebajikan ini. Usahlah kita terpengaruh dengan gelagat media arus perdana yang begitu ‘pelahap’ menayangkan aktiviti pemimpin UMNO yang makin bernafsu memberi bantuan kepada rakyat. Seolah-olah tanpa mereka, kita semua akan mati.

Anda semua tentunya maklum, PAS sebenarnya telah lama mengiktiraf masyarakat Cina sebagai salah satu penyumbang besar terhadap perkembangan budaya & ekonomi di Kelantan khasnya. Kita semua seiring seganding dalam mencurahkan bakti ke arah pembinaan masyarakat dan negara yang lebih maju. Tentunya semangat seperti ini perlu dikekalkan dan sikap saling faham-memahami di samping mengenepikan sebarang bentuk sentimen perkauman.

tok-guru.jpg

MARI BERSAMA KAMI..

Sebenarnya, anda semua tidak perlu merasa bimbang dengan Islam dan PAS, kerana ianya mendukung konsep keadilan untuk rakyat. Islam bukanlah agama yang asing bagi orang Cina. Hal ini dibuktikan dengan sejarah yang menunjukkan orang Cina jauh lebih dahulu mengambil Islam sebagai agama berbanding dengan orang Melayu.

Sekali lagi, usahlah terpengaruh dengan dakyah UMNO yang berusaha menakut-nakutkan kaum Cina agar merasa terancam dengan perjuangan PAS. Usaha tersebut amatlah dikesali. Namun yang berlaku adalah sebaliknya, setelah selesai pilihanraya, di mana PAS mencapai kejayaan, ternyata segala dakyah & ramalan buruk UMNO adalah palsu. Buktinya, lihat saja apa yang berlaku terhadap kaum Cina di Kelantan? Sebagaimana kata Tok Guru, berapa ramaikah orang Cina di bunuh?

Akhir kata, semoga Tahun Tikus ini akan memberikan satu semangat dan ransangan baru untuk bersama-sama mewujudkan pemerintahan yang adil dan sejahtera.

07 FEB 2008

MOHD NURI MAT YAACOB – Ketua Dewan Pemuda PAS Kbg Kerian

Advertisements