ASSALAMUALAIKUM..

Alhamdulillah, Baru-baru ini saya berkesempatan bercuti di Bukit Merah Laketown Resort, Perak bersama keluarga setelah beberapa minggu terpaksa ‘mengabaikan’ mereka demi kerana sebuah perjuangan.

TAHNIAH

Disini saya temui kedamaian, berkesempatan pula untuk mencoretkan sesuatu dalam blog yang merangkumi ulasan peribadi mengenai keputusan PRU 12 secara keseluruhannya. Sekiranya tulisan ini tidak tepat, saya mohon maaf dan pinta diperbetulkan. Sekiranya ianya berguna maka ambillah sebagai muhasabah serta panduan bersama untuk melayari bahtera perjuangan yang masih jauh dan berliku lagi.

Pertama sekali, tiada kata lebih bermakna selain setinggi-tinggi kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah SWT di atas anugerah yang diberikan sehingga PAS dan pakatan pembangkang memperolehi kemenangan luar jangka. Ianya diibaratkan oleh TG Nik Aziz ‘tsunami’ politik tanahair. Jutaan terima kasih kepada semua petugas, terutamanya Jentera Pemuda PAS Kubang Kerian khasnya serta semua petugas atas segala penat lelah, sanggup berpeluh malahan berselimut embun malam bagi mempertahankan kemenangan ini, dalam masa yang sama menjadi pembangkang yang kuat di Parlimen.

INGATAN

Kepada pimpinan yang terpilih menganggotai kerusi EXCO, sekalung tahniah juga dirakamkan. Ingatlah jawatan itu adalah amanah, maka laksanakanlah dengan sebaiknya. Janganlah terlalu ego & merasakan hanya pandangan kita sahaja yang betul, sehingga mengenepikan pandangan orang lain walaupun ianya di buat secara syura. Utamakanlah pandangan syura dalam memutuskan sesuatu perkara. Janganlah kerana anda seorang wakil rakyat, maka prinsip parti menguasai kerajaan langsung tidak dihiraukan.

Semua elemen-elemen ini boleh melemahkan parti dan sekaligus melukakan hati para pejuang yang telah bertungkus lumus siang & malam. Ingatlah jerih-perih mereka di bawah ini yang berkerja tanpa mengharapkan sebarang balasan, hatta walaupun sebatang balak atau sebarang jawatan tetap dan bergaji. Mereka cukup ikhlas dalam perjuangan ini. Tok Guru Nik Aziz juga pernah berkata mungkin individu yang melakukkan gerakkerja daftar pemilih akan masuk syurga dulu dari pimpinan yang berada di atas!

Waspadalah, kerana kealpaan kita setelah menang besar 1999 telah menghukum kita tahun 2004. Jangan ulangi lagi kesilapan itu sehingga memungkin rakyat akan mengajar kita kembali dalam PRU 13 yang akan datang. Nauzubillah.

 

resign.jpg

HARGAI PETUGAS

Ingatan saya buat semua. Janganlah terlalu lena dengan kemenangan. Gerakkerja berterusan perlu bermula dari sekarang. Perhatian & tumpuan yang lebih kepada pembinaan generasi pelapis harus di buat segera sebagai persiapan menghadapi PRu 13 dan seterusnya. Pengukuhan tarbiah kepada ahli dan penyokong merupakan perkara yang perlu, memandangkan betapa semakin sukarnya kita berjumpa dengan amilin yang akan mendahului kepentingan jamaah lebih dari kepentingan individu.

Begitu juga, para petugas yang mampu memahami tuntutan gerak kerja jamaah mesti dilakukan sepanjang masa bukan hanya tertumpu kepada musim PRU sahaja. Satu peruntukan dan modul khas wajib di bentang & diusahakan oleh satu jabatan, individu yang terlibat dalam merealisasikan perkara tersebut. Jika tidak, maka gerak kerja jamaah akan kembali lesu seperti biasa.

TSUNAMI

Perkara kedua yang ingin saya sentuh ialah, mengapa tsunami politik di Malaysia tidak terkesan di Terengganu ? Sebagai pandangan orang luar, saya rasa sudah sampai masanya kepimpinan PAS Terengganu di rombak bagi memberikan cahaya baru kepada rakyat. Sebagaimana kita mengharapkan Pak Lah akan meletakkan jawatan akibat kekalahan BN maka sepatutnya pejuang Islam lebih bertanggungjawab dengan apa yang berlaku di Terengganu.

Sedarlah, PAS bukannya milik kita tetapi milik semua pencinta Islam di dunia. Janganlah kerana kita, maka cahaya itu yang sepatutnya bersinar, tetapi terhalang. Apapun ini hanyalah pandangan peribadi saya.

Jangkaan saya juga dalam PRU 13 nanti, InsyaAllah Terengganu akan dapat dikuasai semula, tapi dengan syarat pimpinan negeri beserta JPN perlu di rombak, semua pihak perlu bekerja keras bermula dari sekarang lagi untuk gerakkerja daftar pemilih, bantahan dan tuntutan, menambahkan cawangan bagi setiap DUN, menarik pengundi atas pagar dengan pendekatan lebih lunak bukannya menghukum.

KERAJAAN CAMPURAN

Terlebih dahulu, saya ucapkan tahniah dan syabas kerana semua pimpinan BA semakin matang dan dapat mengatasi cabaran pembentukan kerajaan campuran dengan tenang walaupun ada pihak yang cuba melaga-lagakan. Sememangnya pembentukan sebuah kerajaan campuran adalah satu ujian yang cukup hebat. Pelbagai karenah boleh berlaku.

Sudah banyak keputusan yang di buat oleh pimpinan terdahulu yang pada awalnya seolah-olah merugikan jamaah namun akhirnya kita melihat hasilnya sehingga sekarang.

p/s Perjuangan memerlukan pengorbanan. Mungkin hasilnya tidak dinikmati oleh kita tetapi oleh anak cucu kita akan datang.

Advertisements