ASSALAMULAIKUM..

9 Mac – Selepas berjaya mempertahankan Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh cuba menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, namun gagal menemui baginda sehingga tengah malam.

10 Mac – Majlis angkat sumpah MB (Idris Jusoh) di tangguhkan.

12 Mac – Nama Ahmad Said (ADUN Ajil) adalah antara tiga nama yang disebut-sebut menggantikan Idris.

14 Mac – Pertemuan semua wakil BN dgn Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) di Putrajaya, namun Idris tidak hadir.

15 Mac – Seramai 20 wakil BN bertemu PM & menyatakan sokongan mereka kepada Idris Jusoh

18 Mac – Idris menyeru rakyat bertenang sewaktu negeri itu ketiadaan menteri besar dan berkata beliau masih belum mendapat apa-apa maklumat mengenai upacara mengangkat sumpah jawatan tersebut dari pihak istana.

19 Mac – Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak terlibat dalam pemilihan calon menteri besar dan menurut perlembagaan, Baginda dilarang menjalankan peranan sebagai Sultan Terengganu kecuali fungsi sebagai ketua agama Islam.

20 Mac – Polis menahan empat lelaki dipercayai membawa 20 helai kain rentang kira-kira 1.45 pagi mengenai pelantikan menteri besar di Jalan Sultan Mahmud, sebatang jalan utama di Kuala Terengganu.

21 Mac – Empat lelaki tersebut dibebaskan. Polis memberi amaran kepada penyebar SMS, yang dilaporkan semakin meluas sejak beberapa hari lepas, tentang isu pelantikan menteri besar.

22 Mac – Pejabat Sultan Terengganu umum pelantikan Ahmad sebagai MB. Majlis angkat sumpah dijadual pagi esoknya. Seramai 22 wakil BN, yang diketuai Rosol, mengisytiharkan untuk memulau majlis tersebut. Buletin Utama TV3 melaporkan, seorang ahli politik Terengganu sedang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung beberapa projek di Kijal. Sementara itu pula, Setiausaha agung Umno Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor memberi amaran kepada Ahmad agar tidak menerima pelantikan tersebut atau sedia menerima tindakan disiplin.

23 Mac – Majlis angkat sumpah ditangguhkan dan Ahmad hanya menerima watikah pelantikan daripada Majlis Penasihat Pemangku Raja. YB Rosol, bagi pihak kumpulan wakil rakyat BN yang memboikot majlis tersebut, menyerahkan memorandum sokongan untuk Idris dipilih sebagai menteri besar kepada MPPR. Beliau juga menyatakan UMNO negeri telah melucutkan keahlian Ahmad. Idris Jusoh bertolak ke Kuala Lumpur untuk bertemu Perdana Menteri selepas sidang akhbar di kediaman rasminya pada sebelah pagi. PM menyifatkan pelantikan Ahmad “tidak mengikut perlembagaan” kerana Ahmad tidak mendapat sokongan majoriti wakil BN.

24 Mac – Ahmad disambut meriah di kawasannya Kemaman, diarak dengan konvoi kenderaan sejauh 10 kilometer dari sempadan Pahang ke rumahnya di Teluk Kalong. Beliau juga bertegas akan ke pejabat MB untuk memulakan tugas di Wisma Darul Iman keesokannya. Tengah harinya pula, Ahmad menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan di Istana Terengganu, Kuala Lumpur. PAS pula menyatakan sokongan kepada pelantikan Ahmad seperti telah diperkenan oleh MPPR. Disamping itu juga, PKR membuat aduan polis di Kuala Terengganu, mendakwa perdana menteri, timbalan perdana menteri serta 23 wakil rakyat BN “bersikap biadap dan menderhaka” kepada Sultan Terengganu.

25 Mac – Ahmad tiba di Wisma Darul Iman sebelum jam 8 pagi, solat hajat dan masuk ke pejabat lamanya sewaktu menjadi exco penggal lalu. Dalam pada itu, Idris Jusoh melahirkan kesediaan memohon keampunan daripada Sultan Terengganu atas segala kesilapan yang telah menimbulkan kemurkaan baginda. Manakala Pemuda PAS menggesa polis menyiasat kain rentang “Kami nak Idris, natang” yang didakwa menghina institusi raja.

26 Mac – Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, antaranya membincangkan krisis pelantikan menteri besar Terengganu. Idris Jusoh bertemu Abdullah di pejabatnya di Putrajaya selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong. Namun begitu, butiran kedua-dua pertemuan ini tidak didedahkan kepada umum.

27 Mac – Majlis Tertinggi (MT) Umno sepenuhnya menyokong Ahmad, calon lantikan istana. Persiapan sambutan besar-besaran di Terengganu menjelang keberangkatan pulang Tuanku Mizan pada Sabtu ini.

Wallahua’lam

Advertisements