ASSALAMUALAIKUM..

Kebanjiran media alternatif di Malaysia khususnya dalam PRU baru-baru ini ternyata meninggalkan kesan yang mendalam kepada keputusan pilihan raya, lebih-lebih lagi kepada kerajaan UMNO. Keputusan diluarjangka tersebut amat mengejutkan semua pihak yang sebelum ini memperkecilkan peranannya.

Masakan tidak, sampaikan Menteri Penerangan pula mula menunjukkan minat seolah-olah ingin ‘berdamai’ dan mengatur pertemuan dengan bloggers serta pengendali laman web. Pertemuan tersebut pada dasarnya adalah cukup baik sekiranya dengan tujuan perbincangan serta menyelaraskan maklumat yang diterima. Namun, apa yang dibimbangi adalah sebaliknya, menjadi sekatan atau memberikan ancaman kepada hak asasi manusia yang digariskan oleh perlembagaan. Soalnya kini, kenapa pula golongan bloggers seakan-akan diiktiraf oleh kerajaan?

MAKLUMAT SAHIH TANPA BATASAN

Kerajaan perlu sedar bahawa penulis blog perlu diberi ruang & peluang untuk mendapat, mengulas, menyebar maklumat yang betul kerana apa yang disampaikan dalam karya mereka sedikit sebanyak boleh mempengaruhi pembaca yakni pengguna internet. Mereka juga berperanan dalam menegur kerajaan bagi hal-hal yang tertentu. Mereka bebas mengemukakan apa sahaja yang difikirkan perlu selagi ianya tidak melewati batas-batas norma.

Mungkin kerajaan telah menyedari tidak mampu lagi menyekat kemaraan perkembangan maklumat dalam kecanggihan era teknologi maklumat pada hari ini. Bloggers yang pro pembangkang mungkin boleh dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan, tetapi pengaruh globalisasi sukar untuk disekat daripada terus berkembang. Kebanjiran laman web dan blog pada pilihan raya umum yang lalu diakui berperanan sebagai ancaman kepada media arus perdana yang sudah kehilangan ‘taringnya’ kerana rakyat pada saat ini ‘dahagakan’ maklumat yang cepat, tepat dan betul.

Kalau tidak, kenapa pula mereka juga berblog?

Khir Toyo (http://www.drkhir.blogspot.com/)
Ali Rustam (http://mohdalirustam.blogspot.com/)
Raja Ahmad Zainuddin (http://www.rajaahmadzainuddin.blogspot.com/)

KINI IANYA PENYEBAR FIKIRAN RAKYAT, BUKAN LAGI UTUSAN & TV3!

Mereka terus berjuang. Ada yang sendiri, ada yang berkumpulan. Kalau dulu tanpa mendapat pengiktirafan oleh mana-mana pihak, namun kini berlaku sebaliknya. UMNO ternyata silap dalam menilai kuasa blog. Mereka mungkin mengambil pendirian tidak mempedulikan maklumat dalam blog sebelum pilihan raya tetapi pembangkang bertindak sebaliknya. Hasilnya adalah sebagaimana anda lihat kini.

Nyatanya kini, bloggers bukan lagi ‘beruk-beruk’ sebagaimana sabda Khairy, tetapi merupakan senjata canggih abad baru yang akan bermati-matian menghentam kerajaan.

Wallahua’lam

Advertisements