Salam perjuangan !

Penubuhan pakatan rakyat (PR) adalah manifestasi dari suara rakyat yang mahukan sebuah negara yang adil, beramanah dan berkebajikan. Maka, saya mengharapkan kepada semua pimpinan parti yang terlibat mestilah menyegerakan penubuhan PR tersebut. Penubuhan PR adalah satu perkara besar dan serius maka apabila sudah ada persefahaman mengenai keperluan mewujudkan PR maka pimpinan mestilah serius dan di lihat serius untuk merealisasikan kewujudan PR dengan keadaan lebih perkasa dan tersusun. Jika timbul sebarang isu dan kekeliruan hendaklah diselesaikan di meja rundingan, elakkan dari membuat kenyataan di media massa kerana kita semua tahu bagaimana amalan media massa di Malaysia.

Kita tidak mahu melihat PR akan menjadi seperti BN yang sudah mula kelihatan goyah di penghujung usia mereka. Kita melihat parti komponen BN sudah hilang perasaan kekitaan sehingga ada di kalangan mereka yang membuat kenyataan sehingga mengguriskan perasaan kekawan yang lain. Rasa hormat menghormati sudah mula pudar di kalangan komponen BN. Memaksa Paklah membebaskan tahanan ISA adalah satu isu yang sinonim dengan PR. Dato Samy baru hendak berjuang sedangkan PAS, GMI dan NGO yang lain telah lama mengemukakan usul dan surat kepada PM supaya membebaskan tahanan yang dizalimi sehingga ada yang telah melebihi masa 6 tahun. Kita mengalu-alukan penggabungan MIC dalam isu ISA bersama PR untuk kita pastikan tiada lagi amalan ISA di Malaysia selepas 50 tahun merdeka dan sedang memasuki fasa kedua 50 tahun akan datang.

Saya juga ingin mencadangkan kepada PR yang akan ditubuhkan secara rasmi nanti selain dari tawaran penggabungan kepada mana-mana parti untuk menubuhkan Kerajaan Baru Malaysia, kita juga harus membuat tawaran untuk bergabung dalam ISU yang dibenarkan kita bergabung contohnya isu kezaliman ISA, Isu DADAH, Gejala Sosial, dll. Pembinaan jambatan hubungan mungkin boleh bermula melalui isu bersama sebelum melangkah lebih jauh untuk melihat sebuah Negara Rakyat Malaysia terbentuk.

Apa pun, saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada rakyat Malaysia di atas keberanian untuk berubah dan sekaligus memaksa sebuah Pakatan Rakyat ditubuhkan satu perkara yang saya tidak jangkakan akan berlaku secepat ini. Tahniah dan terima kasih. Kepada semua parti yang telah memenangi dan membentuk kerajaan samada di Pusat atau di negeri, saya ingin mengingatkan supaya marilah sama-sama pastikan segala janji kita dalam PRU yang lepas dapat dilaksanakan sebaik mungkin. JIka tidak, saya kira rakyat Malaysia lebih cerdik dan tahu bagaimana untuk mengajar parti politik yang mungkir janji dalam PRU ke 13 nanti. Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata maka buruklah padahnya. Marilah kita meneruskan amalan bermunajat supaya Allah memberikan kekuatan kepada pimpinan kita untuk terus memimpin dengan penuh amanah dan dapat merealisasikan janji mereka dengan sempurna.

Aamin.

Advertisements