ASSALAMUALAIKUM & SALAM PERJUANGAN..

Alhamdulillah, dalam kesibukan melakukan tugas, saya masih juga berkesempatan ke pulau perhentian bersama rombongan pemuda PAS DUN Salor baru-baru ini. Program berkenaan adalah merupakan sumbangan & tajaan khas YB Dato Husam Musa sebagai tanda penghargaan di atas kerja kuat Pemuda DUN Salor untuk memastikan semua saluran 3 di setiap UPU menang dengan selesa. Syukur.

Kami bertolak seawal jam 9 pagi pada hari Jumaat, 11 April 2008 dan sampai di Pulau Perhentian lebih kurang jam 11 pagi. Rombongan kami terdiri dari 24 orang pemuda yang merupakan saff hadapan semasa pru 12 baru-baru ini, yang bertungkus lumus siang malam bekerja bagi memastikan kemenangan parti Islam. Tepat jam 12.30 tgh kami bertolak ke Pulau Perhentian Kecil untuk menunaikan solat Jumaat. Imam muda membaca khutbah yang bertajuk perpaduaan atas nama Islam. Beliau mengajak semua hadirin supaya kembali kepada Allah dan rasul jika terdapat sebarang perselisihan.

Apa yang membanggakan kami ialah sewaktu solat jumaat di masjid itu, kami bertemu dengan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Faris Petra yang turut menunaikan solat Jumaat bersama. Tuanku bersama 30 orang rombongan juga telah menginap di sini selama 3 hari 2 malam.

Sewaktu saya melihat beliau mengambil wuduk dan kemudiannya menunaikan solat, terdetik di hati ini bahawa inilah bakal pengganti Sultan Kelantan yang rakyat tunggu-tunggu. Saya difahamkan juga rombongan tuanku juga telah menghidupkan solat berjemaah di tempat penginapannya. Alhamdulillah.

Akhirnya saya sapat juga bersalam dengan TMK, baginda kelihatan amat sederhana sekali malah bagindalah yang telah memulakan memberi salam sewaktu bertemu kumpulan kami di luar masjid. Alangkah bertuahnya saya dan seluruh hamba rakyat negeri Kelantan jika beginilah suasananya.

Pada waktu petang, rombongan kami menaiki bot yang disewa khas untuk pergi menangkap sotong. Dalam masa 2 jam kami memperolehi 36 ekor sotong yang pelbagai saiz. Saya sendiri dapat menangkap 5 ekor sotong. Seronoknya kerana inilah pengalaman pertama. Keesokan hari ini saya bersama Ust Bukhari, Sdr. Mazuadi, Khairul & Jasmin berkayak pula selama 1 jam 30 minit mengelilingi pulau sekitar dan sempat singgah di beberapa kawasan snorkeling yang telah ditetapkan dengan pelampung putih. Indah sekali pemandangan dasar laut kerana airnya yang sangat jernih. Syukur.. jiwa ini merasa cukup tenang.

Akhirnya pada jam 2.30 ptg (12 April, Sabtu), kami bertolak balik ke daratan meninggalkan 1001 kenangan indah di pulau berkenaan. Kami sampai di DUN Salor sekitar jam 5 ptg. Di ketika itu, pelbagai perkara kembali bersarang di kepala. Semuanya menghilangkan kembali ketenangan yang saya rasai sewaktu 2 hari malam di PH. Lantas saya teringat bahawa ketenangan yang sejati hanya akan diperolehi oleh hati-hati yang dipenuhi oleh iman.

Waktu bersantai sebegitu memerlukan satu masa khusus dan kewangan yang banyak namun Allah telah memberikan kita satu jalan untuk mencari ketenangan iaitu dengan mengingatinya melalui bacaan ayat-ayat al-quran. Malah membaca al-quran boleh di buat setiap masa dan tidak memerlukan belanja. Sesiapa yang mahukan ketenangan dan damai yang abadi maka yakinlah sesungguhnya dengan mengingati Allah jiwa kita akan tenang. Tak percaya cubalah… saya selalu baca quran waktu tension apabila nak exam semasa di universiti.

Advertisements