Salam perjuangan,

Alhamdulillah, saya diberikan kesempatan bersama rombongan pemuda pas dun demit pula untuk meraikan pertugas pemudanya dengan membuat lawatan 2 hari 3 malam ke Pulau Pinang dan Kedah .

Kami bertolak pada jam 12 tengah malam 17.4.08. Setelah mandi manda di Masjid Sembilang, Seberang Jaya, kami di jemput oleh wakil DPPN PP ke Sek Ren Islam Bahrul Ulum iaitu SAR yang dikelolakan sepenuhnya oleh DPPN PP. Kami di sambut oleh Ketua Pemuda Negeri Ust Mohd Hafiz dan beberapa orang EXCO Pemudanya. Pagi itu, kami dihidangkan dengan jamuan nasi lemak, sungguhnya menyelerakan kerana kebetulan perut lapar setelah semalaman di atas bas. Kemudian, satu taklimat mengenai sekolah dan juga isu semasa disampaikan oleh pimpinan pemuda dan juga pentadbir sekolah. Apa yang mengkagumkan kami ialah kemampuan DPPN PP untuk menguruskan sebuah sekolah sendiri. Bermula dengan seramai 30 orang pelajar pada 4 tahun yang lepas kini pelajarnya telah bertambah menjadi 130 orang dengan 23 orang staff. Sekolah ini terletak dalam DUN Permatang Pasir yang diwakili oleh Ust Hamdan dari PAS dan Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Wan Azizah dari PKR.

Dalam hati saya berbisik, Negeri Kelantan walaupun memerintah selama 18 tahun namun pemuda negeri atau pemuda kawasan tidak mampu untuk mewujudkan sebuah sekolah sendiri. Hanya yang mampu di buat ialah mengemukakan usul kepada Kerajaan Negeri Kelantan untuk menubuhkan sekolah rendah di setiap kawasan yang tiada respon dari Kerajaan sehingga sekarang. Sewaktu menceritakan bagaimana setiap ajk pemuda kawasan dan exco pemuda negeri diwajibkan menginfakkan RM 10 sebulan sebagai dana untuk memulakan sesi persekolahannya 4 tahun lepas. Kini sekolah tersebut mampu untuk berdiri sendiri dengan bantuan NGO dan Insyaallah akan diusahakan selepas ini bantuan dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Apa yang menarik juga ialah bagaimana kedudukan orang Melayu Islam di balik pulau yang kini tinggal 40 % dan kedudukan ekonomi orang Melayu yang dijana hanya lingkungan 2 % sahaja adalah merupakan cabaran kepada Ketua Menterinya dalam usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu khasnya. Kalau isu kedudukan orang Melayu lebih terbela di zaman Pakatan Rakyat memerintah berbanding zaman BN maka saya menjangkakan Insyaallah UMNO akan berputih mata lebih lama lagi untuk merampas kembali Pulau Pinang.

Isu yang juga berbangkit ialah soal jentera di peringkat akar umbi kepada setiap parti komponen. Saya melihat isu ini akan juga menjadi cabaran kepada kekuatan pakatan rakyat pada masa hadapan. Oleh itu, setiap parti komponen wajib memastikan bahawa mereka mempunyai jentera yang kuat di peringkat akar umbi demi memastikan kelangsungan parti dan pakatan rakyat pada PRU 13 nanti.

Selepas taklimat tersebut, kami meneruskan acara bebas dengan mendaki Bukit Bendera dan melihat pemandangan seluruh Pulau Pinang. Semasa menaiki keretapi kabel menuju ke puncak bukit, saya merasa kagum dengan kehebatan teknologi dulu dalam merekacipta laluan tersebut. Terowong yang di bina sejak 1922 lagi kelihatan kukuh tersergam. Setelah puas di bukit bendera, kami menuju ke masjid negeri untuk solat, komtar untuk membeli belah, dan ke padang kota untuk mencuci mata melihat keindahan waktu senja. Pemandangan di padang kota telah tercemar dengan kelakuan tidak senonoh beberapa pasangan melayu yang memadu asmara tanpa menghiraukan kedatangan orang ramai ke situ. Bilakah suasana ini akan berubah. Adakah kerajaan Pakatan Rakyat akan membuat undang-undang yang lebih tegas kepada couple yang tidak tahu malu ini… khasnya couple Melayu. Akhirnya kami menaiki feri untuk balik ke daratan. Saya sempat juga membeli jeruk salak dan buah pala yang menjadi kebanggaan orang pulau pinang sebelum menaiki feri.

Malam itu, kami bertolak ke Parlimen Jerai dan menginap di markaz pas kawasan Jerai iaitu bersebelahan dengan rumah YAB Ust Azizan Abdul Razak MB Kedah. Beliau menyewa rumah yang menjadi milik parti dengan bayaran RM 300 sebulan. Malam itu, sebelum tidur,ust zu sempat juga menurunkan beberapa bacaan dan senaman untuk menjadikan kita lebih sihat. Alhamdulillah. Pagi esoknya kami sempat bersarapan bersama dengan MB Kedah dan juga berjumpa dengan MP Jerai. Tepat jam 9.30 pagi, kami bertolak ke Muzium Padi Negeri Kedah yang menelan belanja 24.7 juta. Dimaklumkan bahawa lukisan sebelah dalamnya di lukis oleh pelukis dari Korea yang membuat kajian 2 tahun melihat pemandangan di atas gunung kerian. Lukisan yang di lukis oleh seramai 40 – 60 orang yang memakan masa 2 bulan untuk menyiapkannya sungguh mengkagumkan saya dan rombongan. Bukan setakat kami yang merupakan kali pertama sampai ke situ malah ada di antara pemuda kawasan dan pimpinan pas di Negeri Kedah sendiri belum pernah ke situ kerana saya dimaklumkan muzium ini pernah dijadikan isu pembaziran oleh PAS Kedah dulu. Keunikannya ialah lukisan yang diperbuat dari beberapa jenis bahan seperti semburan kristal, polistrin, cat air dll. Selain itu, pada tingkat atasnya di tempatkan kerusi bergerak untuk menunjukkan proses penanaman padi dimulakan sehingga mendapat hasilnya. Kami menikmati makan tengahari di rumah Kediaman Rasmi Menteri Besar diberi nama Mentaloon. Keluasannya tanahnya hampir 4 kali JKR 10, mempunyai 1 Musalla yang boleh menampung jamaah sekitar 200 orang, 1 Dewan Makan di Raja yang kini digunakan untuk tempat taklimat bagi rombongan yang kurang dari 150 orang. 1 Dewan Besar yang baru dirasmikan oleh Pak Lah bulan ramadhan yang lalu yang boleh memuatkan kira-kira 1000 orang. 1 Blok kediaman rumah MB yang saya kira kecil sedikit dari rumah rasmi MB Kelantan.

Kami di sambut oleh YB Dr Hamdan Khalid EXCO Belia, Sukan dan Kebudayaan. Sewaktu menceritakan keakraban MB Kedah sekarang dengan DYMM Sultan dan Sultanah Kedah sehingga MB kena mengadap lebih awal pada pagi rabu sebelum mesyuarat EXCO kerana memakan masa kira-kira 1-2 jam apabila bertemu berbanding dengan MB dulu yang memakan masa kira-kira tak sampai pun 30 minit. Kefasihan MB Kedah sekarang berbahasa Arab dan Inggeris juga merupakan faktor bahawa Ust Azizan cukup sesuai memegang teraju pemerintahan selain faktor-faktor biasa yang lain. Setelah selesai mandi dan solat di Mentaloon, kami bertolak ke Pekan Rabu iaitu satu tempat yang sering dikunjungi oleh pelancong seperti kami untuk membeli belah khasnya makanan tradisional dan ikan pekasam. Satu perbezaan pekan rabu dengan pasar siti khadijah yang saya perasan ialah peniaganya yang terdiri dari ramai wanita muda yang cun (lepasan SPM/STPM). Mereka mencari pengalaman bekerja sambil mengumpul duit untuk melanjutkan pelajaran mereka. Barangkali, itulah pelaris kepada perniagaan di pekan rabu. Saya kira Kerajaan Negeri Kedah harus mengambil beberapa inisiatif untuk meraikan pelajar yang boleh melanjutkan pelajaran sambil memberikan sumbangan sebagaimana Kerajaan Kelantan lakukan. Tepat jam 6 petang kami bertolak balik dan sampai di rumah jam 1 pagi. Perjalanan yang memenatkan tetapi menyeronokkan telah menambahkan lagi pengalaman yang cukup berharga buat saya di dalam meneruskan kehidupan sebagai hamba allah di muka bumi ini.

p/s : Menunggu ajakan pemuda dun pasir tumboh pulak untuk bersantai… He,he.he.

Advertisements