Salam perjuangan,

Alhamdulillah. Anugerah kemenangan dari Allah kepada pakatan rakyat hendaklah diisi dengan pelbagai pengisian yang membolehkan jangka hayat kerajaan PR bertahan lebih lama. Fenomena tsunami politik ini jarang-jarang akan berlaku maka menjadi kewajipan kepada setiap pemimpin dan pejuang Islam untuk mengambil peluang melaksanakan pentarbiyyahan yang menyeluruh kepada rakyat yang terbanyak. Pengisian keimanan ini hendaklah menjadi pilihan pertama di samping agenda kebajikan yang akan di bawa. Kalau di lihat bagaimana Kelantan dapat bertahan bagi saya ialah kegigihan ulama dan para pejuang mendidik semua golongan masyarakat untuk memahami ajaran Islam dan tuntutan untuk melaksanakannya di negara kita. Pusat penggajian pondok dan Sekolah agama yang menyeluruh juga turut memainkan peranan yang penting untuk mendidik masyarakat ke arah mewujudkan suasana Islamik. Saya kira langkah kerajaan negeri Selangor yang akan memperbanyakkan pembinaan sekolah agama di bawah pengurusan kerajaan negeri merupakan satu langkah yang wajar. Selain dari menanamkan fahaman aqidah Islam kepada generasi akan datang ianya juga merupakan usaha untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dari semua aspek. Selaras dengan keperluan negara untuk mempertingkatkan kualiti modal insan bagi mencapai matlamat wawasan 2020 nanti. Jika kerajaan negeri Selangor mampu untuk mengawal pertumbuhan gejala sosial di bawah pemerintahan PR maka negeri kaya lain akan menjadikan Selangor sebagai negeri contoh. Setakat ini, Kelantan telah menjadi contoh kepada negeri yang sederhana kaya.

Pengisian pentarbiyyahan ini jika mahu dilakukan mestilah bermula dari pemimpin dulu ataupun berjalan serentak dengan orang dibawahnya. Ini bermakna semua pemimpin atau orang bawahan samada di peringkat parti atau kerajaan wajib menjalani satu modul latihan untuk membentuk pemikiran dan sakhsiah islam yang sejati. Saya melihat lompang ini di negeri Kelantan kerana penguasaan kerajaan negeri tidak sepenuhnya. Saya mengharapkan negeri yang dapat dikuasai sepenuhnya hendaklah melaksanakan pengisian kemenangan ini dengan pantas kerana masa yang ada amat terhad iaitu 4-5 tahun dari sekarang.

Kita tidak mahu lagi pemimpin negeri atau negara pada masa depan bergelumang dengan pelbagai skandal. Isu terbaru bekas menteri yang didakwa meraba punggung seorang perempuan cukup memalukan kita. Sebelum inipun kita dikejutkan dengan skandal pemimpin dengan wanita yang bernama altantuya yang mati dibom. Walau pun disebut isu ini diperbesarkan atas cubaan untuk melemahkan kedudukan orang-orang pro TPM Najib. Apa pun alasannya kita mesti ingat bahawa negara tidak memerlukan individu yang sebegini untuk menjadi pemimpin pada masa depan. Pemimpin dan parti yang dipenuhi dengan pelbagai skandal dari sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara hendaklah ditolak secara total dalam pru 13 akan datang. Rakyat sekali lagi diminta menjadi hakim untuk menentukan masa depan negara untuk mengharungi fasa 50 tahun kedua selepas merdeka. Saya kira rakyat boleh membuat perbandingan di antara BN dan PR pada masa depan siapa untuk dilantik menerajui pemerintahan negara.

Advertisements