Salam perjuangan

Hari ini genap sambutan Ulangtahun penubuhan UMNO ke 62. UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 oleh Datuk Onn Jaafar. Setelah sekian lama UMNO ditubuhkan dan kini telah memasuki 50 tahun UMNO menerajui parti BN yang memerintah Malaysia, bolehkah kita mengatakan UMNO masih relevan di kalangan orang Melayu ? Seandainya Allahyarham Datuk Onn Jaafar kembali dihidupkan oleh Allah SWT, agak-agaknya adakah beliau akan berpuashati dengan kejayaan yang dicapai oleh UMNO ? Adakah UMNO masih kekal di atas landasan perjuangannya untuk mengangkat martabat orang Melayu atau hanya mengangkat martabat kroni tertentu sahaja ?

Setelah keputusan PRU ke 12 diketahui sepatutnya UMNO sudah boleh bermuahasabah sejauhmana penerimaan orang Melayu terhadap parti mereka. Namun saya melihat tindakan dan kenyataan yang terkini menunjukkan bahawa UMNO tidak insaf dan ikhlas membantu orang Melayu. Hujah saya mudah dan masih konsisten seperti yang telah saya tegaskan di dalam tulisan saya yang lepas. Jika sebenarnya UMNO perjuangkan nasib orang Melayu maka sepatutnya :-

1) UMNO tidak mendiskriminasikan negeri yang majoriti penduduknya orang Melayu hanya kerana mereka memilih Pakatan Rakyat menjadi pemimpin mereka. Apa yang menyedihkan ialah pembaziran wang rakyat dilakukan untuk kepentingan survival UMNO bukannya kepentingan orang Melayu.

2) UMNO sepatutnya mengembalikan royalti minyak kepada rakyat Negeri Terengganu kerana ianya telah termaktub dalam perlembagaan dan merupakan perjanjian di antara petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu. Walaupun Terengganu adalah negeri majoriti orang Melayu dan penduduk miskin.

3) Menggembalikan semula bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk subjek Matematik Sains di kalangan orang Melayu.

4) Mendaulatkan Agama Islam bukan sahaja sebagai agama rasmi tetapi sebagai dasar pemerintahan negara. Mencegah dengan serius gejala murtad yang berleluasa di dalam negara Malaysia.

Paklah telah mengisytiharkan bahawa UMNO masih relevan bagi perjuangan orang melayu walaupun mengalami kekalahan yang teruk di dalam PRU 12 baru-baru ini. Jika ayat inilah yang diwar-warkan maka saya kira UMNO tidak akan ke mana-mana malah tetap dengan status quo mereka sendiri. Apa nak dikatakan lagi jika pemimpin mereka tidak boleh menerima hakikat atau amaran yang telah diberikan oleh rakyat kepada UMNO. Saya kira jalan yang terbaik untuk menyedarkan UMNO ialah dengan menukar teraju kerajaan Malaysia dari Melayu UMNO kepada Melayu PAS dan PR dalam PRU ke 13 nanti.

p/s : UMNO mungkin relevan tetapi pemimpinnya kurang relevan….

Advertisements