Salam perjuangan

Saya telah menerima satu pesanan ringkas petang kelmarin yang menyatakan bahawa Tun Dr Mahathir telah mengisytiharkan keluar dari UMNO dalam himpunan orang Melayu di Alor Setar Kedah. Saya di antara percaya atau tidak dengan berita itu pada mulanya. Namun maklumat itu akhirnya disahkan di media massa dan juga di laman blog. Inilah gegaran terbaru negara setelah negara dikatakan mengalami beberapa gegaran ringan di ibu negara. Pelbagai komen yang positif dan negatif mula kedengaran terhadap tindakan Tun Dr M yang sanggup keluar dari UMNO hasil tidak yakin kepada kepimpinan Pak lah.

Saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Presiden PAS Dato Seri TG Hj Abdul Hadi Awang bahawa tindakan Dr M ini menunjukkan bahawa isu dalaman UMNO yang cukup parah sekaligus memperkuatkan lagi keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO sudah tidak relevan untuk menjadi parti yang menunjangi kaum melayu di Malaysia. Rakyat seharusnya boleh berfikir dengan matang dan jujur dalam menilai isu terkini yang sedang melanda negara.

Setelah seminggu UMNO menyambut ulangtahun ke 62, saya telah memberikan komen bahawa UMNO sudah tidak relevan kepada persada politik tanahair. Tindakan Dr M ini memperkukuhkan komen yang saya buat dalam artikel sebelum ini. Sebenarnya UMNO sedang menunggu masa yang sesuai untuk dikuburkan tanpa nisan dan diarkibkan dalam muzium sebagai sebahagian salah satu bahan sejarah yang berlaku dalam negara Malaysia tercinta. Saya harap kenyataan saya ini tidaklah satu kenyataan yang keterlaluan tetapi itulah analisa yang sesuai diberikan kepada UMNO dalam detik-detik terakhir riwayat UMNO dipersada politik tanahair.

Pagi ini pula saya menerima pesanan ringkas bahawa rakyat di Ibu negara sedang menunggu masa untuk berlarak ke putrajaya untuk “mengambil alih kuasa ” oleh pakatan rakyat. Tindakan Dr M ini sebenarnya mempercepatkan lagi kenyataan dari penasihat parti keadilan rakyat DSAI bahawa selewat-lewatnya bulan September tahun ini kerajaan Malaysia akan bertukar tangan dari BN kepada PR. Inilah nasib yang menimpa UMNO di mana hampir ke semua Presiden UMNO menghabiskan sisa-sisa hidupnya di luar dari UMNO. Apakah peristiwa ini tidak boleh menyedarkan lagi sebahagian besar rakyat bahawa UMNO memang tidak relevan lagi kepada orang Melayu. Hanya Islam yang mampu menyelamat dan membimbing semua kaum yang ada di Malaysia untuk meneruskan memacu pertumbuhan negara untuk pada masa depan. Marilah kita sama-sama menyakini bahawa masa depan Islam di Malaysia cukup terbuka luas dan sedang menanti masa PAS keluar dari kepompongnya untuk memimpin massa dengan pendekatan yang lebih pro aktif dan menjadi duta penyelamat dan kasih sayang kepada semua golongan masyarakat di Malaysia.

p/s : Menunggu masa yang sesuai untuk menerajui kepimpinan negara

Advertisements