Salam perjuangan

Tanggal 12 Jamadil Awal 1429 bersamaan 18 Mei 2008 (AHAD) jam 3.45 pagi , saya telah kehilangan seorang insan yang penting dalam kehidupan ini iaitu ibu saya telah kembali kerahmatullah di usia 72 tahun. Pemergiannya yang tiada pengganti. Saya bersyukur walaupun dalam kesibukan melaksanakan amanah perjuangan, Allah menerima doa saya supaya saya ada di sisi ibu di saat terakhir ibu menghembuskan nafasnya.

Detik yang tidak saya lupakan dan saya mula menjangka akan kehilangan beliau ialah pada waktu maghrib hari sabtu di mana ibu meminta saya menyelimutkan beliau dengan selimut yang tebal akibat rasa sejuk. Pada waktu itu juga penyakit lelahnya akibat paru-paru berair semakin teruk. Ibu sempat memohon maaf dengan saya dan abang serta isteri dan anak-anak begitu juga sebaliknya. Saya juga sempat membacakan yassin, surah ar-ra’du dan al-mulk sebelum beliau menghembuskan nafasnya.

Jenazah ibu selamat disembahyang jam 11.45 pg dan disemadikan di kubur pondok beta hilir jam 12.30 tghr, sebagaimana pesanan beliau kepada saya sebelum ini. Saya sempat mengimamkan sendiri jenazah ibu dan menurunkan jenazahnya ke liang lahad sebagai khidmat terakhir seorang anak kepada ibu tercinta. Doa saya semoga rohnya dicucuri rahmat, dilepaskan azab kubur, dilepaskan azab api neraka dan dimasukkan ke syurga tanpa hisab serta ditempatkan bersama orang-orang mukmin, orang alim, para nabi dan isterinya, Rasullah dan para sahabat.

p/s : Semoga ibu damai di sana….

Advertisements