Salam perjuangan,

Alhamdulillah di atas kesempatan yang diberikan untuk saya menulis lagi. Betapa syukurnya saya berada di dalam perjuangan Islam dan tentunya dengan istilah yang terlalu banyak untuk difahami. Muqabalah ialah satu pertemuan biasa sebagaimana dilakukan di antara organisasi. Mungkin boleh dikatakan seperti majlis perbincangan dan kunjung hormat dalam bahasa sekarang. Muzakarah pula seperti perdebatan yang berakhir dengan ada pihak yang menang dan ada pihak yang kalah. Pihak yang kalah mestilah mengakui kebenaran yang diperolehi oleh pihak yang menang.

Kenyataan Tok Guru Nik Aziz telah menafikan tanggapan dan andaian yang telah di buat sebelum ini samada dari pemimpin PAS atau pun ahli PAS mengenai ada kemungkinan untuk PAS berbaik semula dengan UMNO. Tok Guru jelas mengatakan bahawa pintu muzakarah sudah tertutup rapat dan yang ada hanyalah muqabalah iaitu pertemuan biasa untuk menyatakan pandangan dan pendirian PAS kepada UMNO dan kerajaan yang memerintah mengenai apa-apa jua isu serta perkara yang diperjuangkan oleh jamaah.

UMNO di lihat cuba mencari publisiti murahan dengan me’war-war’kan mengenai pertemuan PAS sebanyak 3 kali. Di tambah pula pada masa yang sama Kerajaan Negeri Kelantan sanggup mendaftarkan sebanyak 20 buah sekolah SAR dengan Kementerian Pelajaran Malaysia. Walaupun EXCO Pendidikan Kelantan iaitu YB Mohd Amar telah menafikan berkali-kali bahawa Kerajaan Kelantan tidak menyerahkan sekolah tetapi hanya mendaftarkannya saja, harus diingat maklumat yang saya perolehi semasa taklimat awal kepada Pengetua sekolah yang didaftar ialah guru yang berada di sekolah berkenaan boleh memilih untuk kekal dengan YIK ataupun menjadi guru kementerian. Bagi saya menguasai guru seolah-olah sudah menguasai sekolah kerana orang yang bertanggungjawab untuk membangunkan sekolah yang berkenaan ialah guru yang ada di sekolah tersebut.

Berbalik kepada isu pertemuan dengan UMNO, saya selari dengan pandangan yang dikeluarkan oleh YB Khalid Samad bahawa UMNO sememangnya tidak ikhlas. UMNO di lihat cuba memperkukuhkan kedudukannya melalui perpecahan PAS dalam Pakatan Rakyat dengan menawarkan beberapa jawatan penting termasuk PM bagi membentuk gabungan yang baru i persada politik tanahair. Jika masih ada di kalangan pemimpin pas masih berangan-angan untuk merealisasikan hasrat bergabung dengan UMNO demi masa depan agama,,bangsa dan tanahair maka merekalah sebenarnya musuh dalam selimut yang sepatutnya di tolak oleh ahli PAS dan rakyat.

Advertisements