ASSALAMUALAIKUM & SALAM PERJUANGAN..

Alhamdulillah.. sinar Aidiladha bakal menjelma lagi. Marilah bersama-sama kita bersyukurlah kehadrat Allah S.W.T. Pada Hari Raya Aidiladha nanti, marilah kita bersama – sama mengingati semula kisah pengorbanan Nabi Ibrahim & kesabaran anakandanya Nabi Ismail dalam menunaikan serta memenuhi perintah Allah.

Marilah kita renung kembali sedalam-dalamnya hikmah perlaksanaannya kepada umat islam.

aidiladha1

Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud.. ”Tidak ada suatu amalan yang paling dicintai oleh Allah daripada Bani Adam ketika hari raya Eidul Adha selain menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan itu akan datang pada hari kiamat ( sebagai saksi ) dengan tanduk, bulu dan kukunya. Dan sesungguhnya darah haiwan korban telah terletak di suatu tempat di sisi Allah sebelum mengalir di tanah. Kerana itu, bahagiakan dirimu dengannya” – Riwayat Imam At-Tarmizi, Ibnu Majah & Al-Hakim.

Qurban ialah menyembelih binatang ternakan pada hari Raya Eidul Adha atau hari–hari Tasyrik (11, 12, & 13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah SWT. Hukum Ibadah Qurban adalah sunat muakkad bagi mereka yang mampu dan wajib bagi mereka yang bernazar.

Ibadah Qurban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat 2 rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Ibadah Qurban dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim A.S. yang ingin menyembelih anaknya, Nabi Ismail AS, kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut hanyalah merupakan sekadar ujian Allah kepada mereka berdua. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana Nabi Ibrahim AS sanggup menyembelihkan anak sendiri dan Nabi Ismail AS pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih.

Peristiwa ini menunjukkan kepatuhan mereka kepada perintah Allah SWT lebih daripada yang lain walaupun ia melibatkan nyawa dan kasih sayang ayah dan anak. Lalu Allah telah menggantikan tempat Nabi Ismail AS dengan seekor Qibasy. Ibadah Qurban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Selain itu, dalam sejarah Islam tarikh 10 Zulhijah merupakan hari di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari Syurga dan di turunkan ke bumi sebelum berjumpa semula di Padang Arafah. Pada bulan ini juga, umat Islam seluruh dunia mengerjakan ibadah Haji yang merupakan rukun Islam yang kelima. Ianya mula diwajibkan ke atas umat Islam pada tahun ke 6 Hijrah.

Marilah juga bersama kita menghayati maksud dari Surah Al – Maidah yang berbunyi :

“Pada hari ini aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu..
dan aku telah cukupkan nikmatku ke atas kamu..
dan aku telah redha Islam itu menjadi agama kami”

Semoga dengan ini hidup kita lebih diberkati dan marilah kita bersama – sama mempertahankan kesucian agama Islam yang kita cintai.

SALAM AIDILADHA 1429

Advertisements