Salam perjuangan dan Selamat Tahun Baru Hijrah/Masihi

Alhamdulillah, akhirnya persoalan dan teka teki yang bermain di benak pemikiran ahli PAS serta rakyat Kuala Terengganu sudah terjawab melalui pengisytiharan calon PAS malam ini di Stadium Negeri Kuala Terengganu. Nama YB Abdul Wahid Endut telah diumumkan secara rasmi oleh Presiden PAS YB Dato Seri TG HJ Abdul Hadi Awang di hadapan 10 ribu orang penyokong PAS. Beliau juga merupakan ADUN Wakaf Mempelam iaitu salah satu dari 4 DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu. Pemilihan beliau adalah berdasarkan track rekodnya yang bersih dan mempunyai harapan yang cerah untuk menang.Beliau juga memiliki rekod yang cemerlang sebagai Adun atau Exco selama sepenggal dan sebagai Adun pembangkang.

Turut hadir sama dalam majlis penting itu Timbalan Presiden PAS Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Naib Presiden PAS Mohammad Sabu, Setiausaha Agung PAS Dato’ Kamaruddin Jaffar, Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan beberapa pimpinan PAS Pusat yang lain. Manakala di peringkat negeri dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Dato’ Mustafa Ali, Timbalan Pengarah Pilihan Raya Dato’ Wan Mutalib Embong, Adun Batu Buruk Dr Syed Azman Syed Nawawi dan saf kepimpinan negeri.

Diharapkan selepas pengumuman ini, jentera PAS Terengganu dan Jentera Pembantu dari PAS, PKR dan DAP akan dapat bergerak dengan lebih baik dan mantap untuk memastikan kemenangan calon Pakatan Rakyat pada 17 Januari 2009 nanti. Saya sendiri belum berkesempatan lagi untuk menjejakkan kaki ke gelanggang PRK kerana menyelesaikan beberapa program yang terpaksa saya bereskan. Insyaallah, saya berazam untuk pergi bermula 5 Januari 2009.

Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Hijrah 1430 dan Tahun Baru Masihi 2009. Semoga kedatangan yang kita nanti-nantikan selalu akan menambahkan keimanan,keberkatan, kebahagiaan,kesenangan dll lagi kepada kita semua. Semoga Islam akan menjadi pilihan alternatif kepada rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan kaum.

Advertisements