Salam Perjuangan,

Alhamdulillah, millenium baru ini telah memberikan peluang dan ruang yang semakin luas kepada Islam untuk menempatkan dirinya pada posisi yang betul dan cepat. Krisis ekonomi dunia yang telah memperakui kegagalan sistem ekonomi sekular. Islam perlu mengemukakan solution yang dikehendaki oleh dunia bagi menyelesaikan krisis yang semakin teruk. Perubahan trend pengundi juga di lihat sebagai satu peluang yang memerlukan tindakan yang tepat dan segera dari pimpinan dan jamaah. Bagaimana kita mampu untuk mengajak seramai 5 juta lagi pegundi yang layak tetapi malas untuk mendaftar dengan pelbagai alasan tersendiri. Barack Obama telah membuktikan tindakan beliau yang betul telah mengangkat beliau untuk menjadi Presiden Amerika yang baru. Apakah PAS kekurangan para strategis untuk menarik pengundi tersebut supaya pada pru ke 13 nanti mereka akan mengangkat PAS menjadi kelompok yang kuat dalam Pakatan Rakyat. PAS dan PR ibarat kawan yang sedang bersaing untuk menjadi pelajar terbaik dalam kelas. Jika PAS leka maka orang lain sentiasa akan menjadi pelajar terbaik.
Satu lagi fenomena yang menuntut PAS membuat persediaan yang sempurna iaitu mengambil keuntungan dari perpecahan dalaman UMNO yang agak parah. Mereka umpama sebuah kapal yang sedang menunggu ombak besar memecahkan kapal. Di sinilah kebijaksanaan PAS diperlukan melalui beberapa pilihan iaitu menyelamatkan mereka terlebih dahulu sebelum karam atau menyelamatkan mereka setelah kapal pecah. Mungkin juga PAS akan membiarkan mereka tenggelam dengan kapal mereka. Di sinilah kecekapan pimpinan membuat keputusan yang segera dan tepat diperlukan kerana saya kira PAS akan rugi jika membiarkan kapal penyelamat lain sahaja menyelamatkan anak kapal tersebut.
Kehadiran dan kepimpinan utama PAS di dalam menyelesaikan semua isu nasional amatlah dinantikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama,kaum dan bangsa. Islam telah diturunkan untuk memberikan rahmat kepada semua makhluk dan alam. Saya masih ingat keputusan cepat dan tepat Allahyarham Ust Fadzil Noor pergi kerumah DSAI sewaktu beliau dipecat dari UMNO telah di sambut dengan laungan takbir sekaligus memperlihatkan keterbukaan Islam untuk memberikan rahmat kepada semua pihak. Begitu juga isu tahanan India yang mati dalam lokap polis yang dilihat amat bertentangan dengan prinsip keadilan Islam seharusnya mendapat pembelaan yang segera dari PAS. Saya fikir ianya akan menguntungkan PAS jika kita bijak menangani isu ini dengan cermat. Kelewatan kita untuk memenuhi tuntutan perubahan landskap politik tanahair akan menyebabkan PAS akan semakin terpinggir dan tidak relevan. Oleh itu, pemimpin utama kita harus cekap dan cepat serta sensitif dengan kehendak massa malah kebersamaan merasai denyut nadi rakyat haruslah dilihat dan dirasai oleh masyarakat. Jika tidak, PAS hanya akan bisa menjadi jaguh kampung sahaja.
Sebenarnya PAS mempunyai semua kekuatan yang diperlukan tetapi sejauhmana ianya digunakan atau dimanipulasikan oleh pimpinan untuk menjadikan semua isu yang dihadapi sebagai kekuatan kepada PAS. Akhir kata Selamat Berjuang. Allahu Akbar !!!

Advertisements