untitled1

Najib angkat sumpah Perdana Menteri ke-6

03/04/2009 10:36am

KUALA LUMPUR 3 April — Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas menerajui negara lebih lima tahun.

Najib, 55, mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Negara. Segak berbaju Melayu hitam, Najib tiba di Istana Negara pada 9.42 pagi diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mereka berdua kemudian memasuki Balairong Seri pada 10 pagi diikuti Abdullah dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah.

Kenamaan lain yang turut hadir termasuklah anggota Kabinet, Menteri Besar dan Yang Dipertua Dewan Negara serta Speaker Dewan Rakyat. Seramai 319 tetamu kehormat hadir pada majlis bersejarah itu termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_03.htm