Penantian 39 tahun yang lalu berakhir dengan Kelantan telah mengesahkan tiket ke Final pada 7 November 2009 ini apabila mengalahkan pasukan Perlis dengan agregat 5-1.  Tahniah diucapkan kepada pasukan Kelantan kerana telah menempa sejarah untuk bertemu dengan Pasukan Negeri Sembilan di perlawanan akhir nanti. 

Apa yang menarik perhatian saya ialah sebelum pasukan ini bertolak ke Perlis pada tengahari jumaat yang lepas, saya sempat melihat YAB Tuan guru Dato Menteri Besar Kelantan menjampi air sewaktu beliau merasmikan Sambutan 25 tahun PASTI Malaysia di Kota Bharu Kelantan.  Pelbagai andaian bermain di fikiran saya ketika itu, untuk siapa lah air tawar itu dan siapakah yang memintanya sehingga Tok Guru walaupun berada di majlis yang besar sanggup menjampikan air tersebut. Akhirnya persoalan itu terjawab semasa sembang ketika makan selepas majlis perasmian bahawa air tawar itu buat pasukan bola Kelantan yang sedang bersiap sedia untuk bertolak ke Perlis.  Ada juga sahabat yang cuba bergurau kalau Kelantan mengambil air tawar Tok guru MB yang juga Mursyidul Am maka apa kurangnya pasukan perlis boleh mengambil air tawar Dr Haron Din yang juga timbalan Mursyidul Am… nanti boleh lihat air tawar siapa yang menjadi…Rakan yang lain ada mencelah katanya adakah Dato Seri Anuar Musa juga akan minum air tawar tok guru.. satu  lagi isu yang berbangkit ialah ada di kalangan penyokong Kelantan yang ingin sangat bertemu dengan pasukan Negeri Sembilan di Final nanti atas alasan mahu membalas dendam kerana kezaliman dan kekejaman penyokong BN kepada PAS Kelantan semasa PRK Bagan Pinang Dulu… entahlah saya hanya mampu tersenyum dan meng’iyakan andaian demi andaian tersebut. 

Kebetulan pada tarikh 7 nov tersebut seminar politik memperkasakan PAS diadakan di Taman Melewar. Satu polemik baru yang dicetuskan oleh Ulamak yang sayangkan perjuangan Islam yang di bawa oleh PAS yang mungkin tidak difahami tindakannya oleh orang lain.  Apapun saya mengharapkan tarikh 7 nov akan mencipta dua sejarah yang besar iaitu yang pertamanya buat pasukan Kelantan dengan memenangi Piala Malaysia buat kali pertama dan juga sejarah kedua kepada PAS dengan memperkemaskan landasan perjuangan seterusnya memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan bersama Memimpin Malaysia selepas PRU ke 13 nanti. Insyaallah. 

Di Kesempatan ini juga saya mengucapkan tahniah di atas sambutan 25 tahun PASTI yang menyaksikan pelbagai liku dan cabaran yang ditempuhi oleh PASTI untuk berdiri sehingga ke hari ini. Syabas dan tahniah kepada penggerak PASTI seluruh negara yang sanggup berkorban untuk memastikan pendidikan Islam dapat di ajar kepada anak-anak kita bermula dari kecil lagi. Semoga usaha ini diberkati dan diberikan balasan yang setimpal oleh Allah…