Salam perjuangan….

Puas saya memikirkan tajuk yang sesuai untuk artikel saya pada kali ini. Isu demi isu melanda PAS selepas berjaya dengan cemerlang di dalam PRU 12 yang lepas. Saya yakin UMNO dan sekutunya tidak akan berdiam diri dan akan berusaha berterusan untuk memporakperandakan PAS samada dari dalam atau dari luar dengan pelbagai isu yang di cipta atau memang tersalah laku oleh pemimpin PAS sendiri menyebabkan ruang terbuka luas kepada pihak tertentu untuk mencari kesalahan pemimpin PAS.  Akhirnya saya menyimpulkan kesemua isu yang melanda ini ibarat air panas yang mendidih yang menunggu masa untuk sejuk. Namun tidak dapat dipastikan bilakah masanya air itu akan sejuk ???

Izinkan saya memetik beberapa  isu yang melanda PAS dan kepimpinannya. Sebaiksaja keputusan PRU 12 diumumkan maka disahkan Pakatan Rakyat memenangi majoriti di lima negeri.  Penubuhan sebuah kerajaan yang memerintah berlaku kekalutan  di Perak dan beberapa negeri lain yang dikuasai Pakatan Rakyat. Di saat cemas itu, timbul isu bahawa ada pemimpin kita sanggup berunding dengan UMNO untuk menjadikan ketuanan Melayu sebagai kuasa majoriti.  Akhirnya isu ini selesai dengan tertubuhnya semua negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sepertimana yang kita lihat sekarang.  Sayangnya kerajaan Perak tidak dapat bertahan lama kerana UMNO dan sekutunya menggunakan taktik yang cukup kotor untuk menjatuhkan kerajaan yang sah.

Isu kerajaan perpaduan juga tidak kurang hebatnya melanda PAS menyebabkan ada ahli yang tidak berpuashati dengan keputusan yang diambil oleh pimpinan untuk berunding dengan mantan PM Tun Abdullah Badawi pada masa tersebut. Akhirnya isu tersebut dimuktamadkan semasa muktamar di Perak dan Selangor dengan penegasan dari pimpinan bahawa PAS akan tetap bersama Pakatan Rakyat untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang adil di Malaysia.  Isu yang seterusnya ialah Tuduhan sesat oleh Ustaz Nik Abduh kepada pembantu-pembantu tok guru Nik Aziz, persetujuan tok guru dengan isu UG  dan isu ulama’ mee celup. Akhirnya isu ini diselesaikan dengan baik. Kebetulan isu ini timbul semasa pemilihan kepimpinan PAS akan berlangsung dalam Muktamarnya yang terdekat. Isu kepimpinan Ulama dan Profesional sekali lagi diwar-warkan yang menyebabkan ada dikalangan ahli PAS sendiri keliru apakah yang dimaksudkan dengan kepimpinan Ulama. Isu ini diputarbelit seolah-olah ada dua puak yang sedang berebut jawatan untuk menjadi pemimpin PAS. Akhirnya dalam kekeliruan tersebut ahli PAS telah membuat pemilihan kepimpinan seperti yang kita semua tahu.

Kehangatan isu terus melanda PAS dan PR dengan isu Jawatankuasa SELCAT, Isu Penjualan dan Penguatkuasaan Arak di kedai dan isu pembinaan Kuil di Negeri Selangor selain Isu Penternakan Babi di Kedah.  Namun kebijaksanaan pemimpin PAS dan PR menyebabkan isu ini tidak berpanjangan walaupun ianya belum selesai sepenuhnya.  Apa yang mengejutkan saya dan kawan-kawan yang lain ialah dalam keadaan tiada riak-riak isu tiba-tiba YAB Tok Guru Nik Abdul Aziz mengeluarkan statement yang mencemaskan kita semua yang kemudian membawa kepada Mesyuarat Khas PAS Pusat di mana resolusi yang di capai ialah Mengadakan Seminar Politik untuk Memperkasakan PAS.  Perjalanan Seminar yang seolah-olah di rancang bagi saya untuk meredakan suasana menyebabkan pemimpin dan penyokong PAS dilihat tidak boleh menerima teguran dan bersifat primitif  sehingga ada yang berani menyimpulkan jika pemimpin tidak mahu berubah dan ahli PAS sendiri tidak berani untuk mengubah pemimpin maka susahlah untuk PAS diterima oleh majoriti rakyat untuk memimpin Malaysia. Saya tidak berani bertaruh tetapi sementara air yang masih sedang mendidih ini tidak disejukkan segera dengan Pelan bertindak yang kemas oleh Pemimpin PAS sendiri maka kita semua hanya boleh berserah kepada faktor masa untuk membiarkan rakyat melupai isu ini dan seterusnya memberikan peluang kepada PAS untuk menjadi PArti yang dominan dalam PR bagi memerintah Malaysia selepas PRU 13 nanti. Insyaallah.

Akhirnya isu baiah dikalangan pemimpin PAS juga dipolitikkan samada dirancang atau tidak di rancang tak tahulah.  Namun amalan baiah ini hanyalah satu kaedah untuk menghalang pemimpin PAS yang diberikan amanah untuk mengkhianati amanah ahli dan rakyat kepada mereka.  Mengapa kaedah ini yang telah terbukti berkesan dan dapat menjamin keutuhan sebuah kerajaan Islam walaupun di saat PAS majoriti dengan hanya satu kerusi diperbesarkan seolah-olah ianya satu kesalahan yang amat besar dilakukan oleh PAS sendiri. Bukankah amalan baiah juga dilakukan oleh Rasulullah SAW ??? Soal apakah isi baiah itu terserah kepada persetujuan di antara orang yang melakukan baiah dan orang yang menerima baiah bagi pihak PAS sendiri…Jika tidak berani untuk berbaiah maka adakah pemimpin mempunyai hasrat untuk melompat Parti jika menerima tawaran Menteri, Menteri Besar, EXCO yang sebagaimana diwar-warkan jika PAS sanggup mengadakan kerjasama dengan UMNO dalam isu Kerajaan Perpaduan??? Jika betul war-war ini amat malang namun saya tetap berkeyakinan pemimpin kita tidak semudah itu untuk melompat parti. Namun Saya tinggalkan tulisan saya ini dengan persoalan yang perlu di jawab oleh setiap orang yang cintakan PAS dan perjuangannya bukannya orang yang hanya cintakan Pemimpin dan matlamat yang ingin dicapainya….