Salam perjuangan….

Saya mengambil kesempatan sekali lagi di alam siber ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Korban bagi tahun 1430h.  Sesungguhnya pengorbanan Nabi ALlah Ibrahim serta keluarganya telah mencatat sejarah yang agung buat kita semua. Segala tingkahlaku mereka semua telah menjadi amalan yang wajib kita lakukan bagi mereka yang berkemampuan.  Amalan tersebut dinamakan Rukun Haji.  Kehebatan Nabi ALlah Ibrahim sememangnya sudah jelas sehingga namanya disebut bersama dengan Nabi Muhamad SAW sewaktu kita membaca tahiyyat akhir.

Di sebalik cerita pengorbanan yang dilalui oleh Nabi Ibrahim dan keluarganya yang sering disebut orang apabila memasuki bulan Zulhijjah.  Isu pengorbanan Tok Guru dan Keluarga juga telah menghiasi blog dan dada akhbar pada kali ini.  Apakah ini satu kebetulan atau satu yang disengajakan oleh pihak-pihak tertentu ?  Bagi saya sebagai seorang tok guru yang di jaga oleh Allah SWT maka sudah tentu tidak sedikit ujian yang melanda untuk mengangkat martabat beliau di sisi Allah SWT.

Kembali kepada isu pengganti kepada Tok Guru Nik Aziz atau dengan kata lain yang pernah diwar-warkan ialah Nik Aziz ke dua.  Saya menyokong penuh cadangan Dato Mahfuz Omar Naib Presiden PAS supaya semua pihak menghentikan isu pengganti Tok Guru dan sewajarnya memberi peluang kepada Tok Guru untuk meneruskan kepimpinan beliau.  Proses peralihan kuasa yang semestinya melalui beberapa peringkat pemutus untuk membolehkan nama pengganti Tok Guru diumumkan. Mengapa tiba-tiba persoalan pengganti Tok Guru diperbesarkan sekarang oleh pemimpin PAS sendiri malah cuba diambil kesempatan oleh Pemimpin UMNO sendiri ?  Apakah ianya juga satu perancangan dari dalam untuk menjatuhkan Tok Guru sekaligus menjatuhkan “budak Tok Guru” ?  Atau PAS sendiri sudah terperangkap dengan permainan licik musuh mereka untuk menjatuhkan seorang pemimpin PAS yang selama ini menjadi tiang seri dan benteng pertahanan utama kepada PAS dari dihanyutkan oleh strategi mapan musuh samada dalam selimut atau pun di luar selimut ?

Adalah menjadi keutamaan kepada semua pemimpin PAS hatta ahli kelurga Tok Guru sendiri untuk mengambil tempoh bertenang dan tidak berterusan membangkitkan lagi isu pengganti Tok Guru.  Biarlah sama-sama kita tunggu dan lihat siapa yang akan menjadi Nik Aziz kedua ? Berilah keyakinan kepada pemimpin kita Tok Guru serta kepimpinan PAS untuk menentukan apabila sampai masa dan ketika yang sesuai.  Tidak perlu kita menjolok buah yang tidak masak untuk gugur di laman.  Apakah payah untuk semua pihak mengatakan NO KOMEN apabila pihak media yang orang yang tidak sepatutnya bertanya setiap isu yang sensasi ???