Mahfuz saran peletakan jawatan Ariffahmi disegerakan

PDF | Print | E-mail
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 7 Dis: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyarankan agar peletakan jawatan Abdul Ariffahmi Abdul Rahman disegerakan bagi mengelakkan persepsi buruk terhadap kerajaan negeri dan menghentikan kontroversi yang melanda.

Mahfuz berkata, Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku penasihat kepada Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) boleh memanggil lembaga penasihat untuk mendapatkan nasihat berhubung keperluan disegerakan peletakan Ariffahmi sebagai Ketua Pegawai EKsekutif PMBK.

“Saya menyarankan supaya menteri besar selaku penasihat kepada PMBK boleh membuat satu pertimbangan.Pertama sekali Ariffahmi perlu menyerahkan surat kepada Menteri Besar dan Menteri Besar selaku penasihat PMBK boleh memanggil lembaga penasihat untuk meminta nasihat kepada beliau tentang keperluan ke atas pelepasan jawatan Ariffahmi,” katanya ketika ditemui di parlimen semalam.

Mahfuz juga berkata, beliau menyambut baik keputusan Ariffahmi untuk meletakkan jawatannya namun beliau berpandangan peletakan jawatan itu tidak harus mengambil masa yang lama bagi menjaga etika korporat.

“Saya ucap terima kasih kepada Ariffahmi yang sanggup lepaskan jawatan namun ia tidak harus mengambil masa yang lama memandangkan PMBK merupakan satu entiti berorientasikan korporat.
Oleh itu etika korporatnya perlu dijaga,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar Ariffahmi diberikan dua pilihan samaada menerima sebulan gaji dan terus berhenti atau memberikan notis tiga bulan untuk melepaskan jawatan tetapi diarahkan bercuti.

“Walaupun saya menghormati Ariffahmi yang memberikan notis pelepasan jawatan tiga bulan itu, Menteri Besar juga mempunyai kuasa untuk memberikan pilihan gantian iaitu sebulan gaji dan terus berhenti,”
Ini ujarnya bagi mengelakkan sebarang implikasi kepada perbadanan dalam pebagai perkara.

“Adalah wajar notis tiga bulan pelepasan jawatan itu disertai degan cuti.Menteri Besar boleh mendapatkan nasihat daripada lembaga penasihat untuk memberikan nasihat supaya tiga bulan ini Ariffahmi diberikan gaji tetapi tidak boleh diberikan apa-apa peranan dan harus disegerakan peletakan jawatan ,”ujarnya lagi.

Minggu lalu, Ariffahmi yang merupakan menantu kepada Nik Aziz mengumumkan akan meninggalkan perbadanan pada Mac tahun hadapan.

Sebelum itu, Nik Aziz meminta beliau meletakkan jawatan selepas mendapat nasihat daripada pimpinan tertinggi PAS Pusat.

Tulisan ini di petik dari http://www.harakahdaily.net