Dis 12, 09 8:03pm

Majlis perkahwinan meraikan Teh Afifah Abdul Hamid, 23, bersama suaminya Mohd Ariff Ab Kadir, 23, digantikan dengan majlis tahlil di rumah keluarga pengantin perempuan di Taman Berlian di Alor Setar hari ini.

Mohd Ariff maut dalam kemalangan ngeri yang meragut nyawa tiga orang yang lain termasuk ibu dan bapanya, Apsah Othman dan Ab Kadir Awang di Kilometer 7, Jalan Kangar-Padang Besar di Perlis, petang semalam.

Ibu Teh Afifah, Siti Aishah Baharum, 58, berkata majlis yang telah dirancang tetap diteruskan kerana semua persiapan telah dibuat, tetapi ia diganti dengan majlis tahlil serta kenduri arwah untuk menantunya.

“Semalam menantu saya (Mohd Ariff) tak banyak cakap, selepas majlis akad nikah, keluarga menantu saya terus pergi ke rumah saya untuk menjamu selera tanpa menunggu sesi bergambar bersama pengantin.

“Saya menyuruh anak saya (Teh Afifah) mengajak suaminya melihat pelamin dan bilik pengantin kerana majlis perkahwinan mereka akan diadakan di Taman Kancil bersebelahan dengan taman perumahan kami, tetapi menantu saya beritahu dia nak cepat balik rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Aishah berkata, semasa diberitahu tentang kematian menantunya itu, beliau tidak memaklumkan terus kepada anaknya, sebaliknya hanya memberitahu bahawa Mohd Ariff terlibat dalam kemalangan.

“Afifah hanya mengetahui suaminya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Fauziah apabila dia sendiri yang menelefon birasnya yang merupakan doktor di hospital itu,” katanya.

Katanya, seminggu sebelum majlis pernikahan Afifah, anaknya memberitahu bahawa dia berasa tidak sedap hati dan tidak ceria.

“Sepatutnya bakal pengantin akan ceria menanti hari bahagia, tetapi sebaliknya berlaku kepada anak saya, mungkin dia dah dapat rasakan perkara buruk akan berlaku,” katanya.

Teh Afifah merupakan anak keempat daripada lima beradik dan masih menuntut dalam tahun akhir di Universiti Auckland, New Zealand dalam bidang Sains Kimia. BERNAMA