Jenayah Kelantan turun 346 kes

KOTA BHARU – Sepanjang Januari tahun ini hingga semalam, jumlah kes jenayah yang berlaku di Kelantan dilaporkan menurun sebanyak 346 kes kepada 6,866 berbanding 7,212 kes dilaporkan tahun lepas.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,356 kes berjaya diselesaikan membabitkan 2,354 tangkapan.

“Bagi kes melibatkan dadah, sehingga semalam, seramai 7,226 orang ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penyalahgunaan Dadah dan Langkah-langkah Pencegahan melibatkan belia berusia antara 18 dan 35 tahun.

“Kadar jenayah di negeri ini menurun melalui kerjasama orang ramai yang sedar untuk mencegah jenayah dengan melaporkan maklumat segera kepada polis,” katanya kepada pemberita selepas Program Rakan Cop (Shell Bersama PDRM Kelantan) di Stesen Minyak Shell Chica di sini, semalam.

Beliau berkata, program pencegahan jenayah di stesen minyak julung kali diadakan di negeri itu bertujuan menangani jenayah samun dan rompak di semua stesen minyak.

Menurutnya, sepanjang tahun ini, dua kes rompakan berjaya dipatahkan polis dalam masa 24 jam melibatkan stesen minyak Shell di Pasir Puteh, manakala pada tahun lalu, satu kes rompakan di Mobil di Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun katanya, ada kes tertentu mencatat peningkatan tahun ini dibandingkan dengan tahun lalu dan memberi saranan agar ibu bapa berperanan dalam membentuk keperibadian anak-anak.

Beliau menyarankan, pencegahan tersebut memerlukan kerjasama orang ramai dan pengusaha stesen minyak perlu mempelajari ciri keselamatan bagi mengelak jenayah dengan menyalurkan maklumat jenayah, pemasangan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta mempunyai pengawal keselamatan… sinar harian