Vientiane – Malaysia menempah tiket ke perlawanan akhir bertemu dengan Vietnam.  Apa yang pasti pasukan bolasepak negara sudah menyumbang sebutir pingat cuma warnanya saja yang belum pasti samada emas atau perak.  Diharapkan pasukan negara akan bermain sebaik mungkin dalam final nanti dan seterusnya berpeluang menamatkan kemarau emas selama 20 tahun  pada Sukan SEA XXV selepas menewaskan Laos 3-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional, di sini sebentar tadi.

Lawan Malaysia pada pertemuan akhir Khamis ini ialah Vietnam yang sebelum itu menumpaskan Singapura 4-1 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang berlangsung di Stadium Chaou Anouvong, dekat sini.

Dua gol Malaysia dijaringkan oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-13 dan m-79 sementara gol ketiga dijaringkan oleh Safiq Rahim pada minit ke-84.

Biarpun stadium dipenuhi 23,000 penyokong tuan rumah, anak buah K. Rajagobal bermula dengan yakin dan melakukan beberapa percubaan berbahaya bagi menguji kekuatan lawan.

Kedua-dua pasukan tidak bertemu dalam saingan peringkat kumpulan. Malaysia ialah naib juara Kumpulan A sementara Laos mengungguli Kumpulan B. – Bernama