Salam perjuangan…

Saya sempat mendengar radia kelantan pagi tadi katanya esok di jangka hujan lebat bermula di Kelantan dan seterusnya mengakibatkan banjir kali ke seterusnya.  Kawasan pantai Timur Semenanjung akan  terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut berikutan angin kencang Timur Laut yang diramalkan bermula esok sehingga Selasa depan.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini amat berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti sukan dan rekreasi laut, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) hari ini.

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Samui (Kelantan dan Terengganu), Tioman (Pahang dan Johor Timur), Wilayah Persekutuan Labuan, Sabah (Pantai Barat dan Kudat) dan Palawan.

JMM mengekalkan nasihat amaran hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat dijangka turun dari semasa ke semasa di Kelantan bagi daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh, Terengganu bagi daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan Pahang bagi Kuantan dan Pekan mulai malam esok sehingga Sabtu depan. Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah berdekatan tebing sungai.

Saya teringat kisah silam di mana banjir terbesar yang saya sendiri alami ialah pada tahun 1988 iaitu tahun saya menduduki SPM. Ketika itu paras air di atas rumah saya ialah di paras lutut.  Jiran-jiran terdekat yang mengalami kenaikan air sudah berpindah tetapi Allahyarhamah Ibu saya bertegas tidak mahu pindah dan beralih tempat di atas meja.  Saya dan abang tidak mampu memaksa beliau untuk berpindah. Saya dan abang di arah oleh beliau berpinah ke rumah kakak di tempat yang lebih tinggi.  Seingat saya itulah paras air yang paling tinggi melanda rumah saya.  Sekarang paras air tidak setinggi itu walaupun negeri Kelantan di landa banjir berulangkali.  Pada tahun 2005 saya telah meninggikan tapak rumah di sebelah rumah saya yang dulu untuk mendirikan sebuah rumah saya sendiri. Pada penghujung tahun 2008 saya telah mendirikan rumah dahulu dengan lantainya lebih tinggi dari dahulu.  Alhamdulillah sekarang air yang melanda sudah tidak seperti dulu lagi. Syukur kepada Allah SWT dan mungkin juga keberkatan kepimpinan Ulamak di Kelantan.