Salam perjuangan…

Saya terlebih dahulu mengucapkan syabas dan tahniah di atas keterbukaan semua pimpinan PAS,PKR dan DAP mengadakan konvensyen dan seterusnya menggariskan matlamat bersama demi merealisasikan cita-cita bersama untuk menawan Putrajaya pada PRU 13 nanti. 

Konvensyen PR kali pertama ini yang dihadiri 1500 orang perwakilan dari ketiga-tiga parti utama yang diadakan di Auditorium MBSA telah berjaya meluluskan Dasar Pakatan Rakyat secara sebulat suara.

Ia diluluskan apabila semua perwakilan berdiri dan mengangkat tangan tanda setuju apabila ditanya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim berdasarkan cadangan Lim Kit Siang.

(Gambar: Tiga pemimpin utama Pakatan Rakyat menandatangani dokumen Dasar Pakatan Rakyat selepas diluluskan konvensyen)

Dokumen itu kemudiannya ditandatangani oleh tiga pemimpin utama Pakatan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.  Dasar Pakatan Rakyat berupa dokumen yang dipersetujui bersama di kalangan pimpinannya dan diluluskan sebulat suara dalam konvensyen hari ini.  Ia mengandungi empat perkara asas iaitu demokrasi yang telus dan tulen, memacu ekonomi berprestasi tinggi, keadilan sosial dan pembangunan insan dan hubungan persekutuan – negeri dan dasar luar negara.

Saya hanya mampu mengikuti detik yang bersejarah ini melalui media massa ingin merakamkan sekalung ucapan tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua yang terlibat dalam menjayakan konvensyen tersebut.  Saya juga berharap agar segala dasar dan resolusi yang dipersetujui akan dipatuhi oleh semua pihak dan diterjemahkan sebaik mungkin melalui jawatankuasa penyediaan mekanisme perlaksanaan dasar yang akan ditubuhkan kelak.