RANTAU PANJANG – Seramai 92 penduduk daripada 40 keluarga di sekitar Rantau Panjang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Banjir Stesen Kereta Api akibat kenaikan paras air Sungai Golok ekoran hujan lebat dan angin kencang yang melanda negeri ini sejak tiga hari lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati beberapa perkampungan dan jalan ditenggelami air menyebabkan penduduk di beberapa kawasan menyegerakan persiapan mengemaskan barangan dan dokumen penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Penduduk yang ditemui, Normah Kassim, 35, berkata, dia sangat bimbang jika paras air semakin meningkat kerana dia sekeluarga tidak berpindah bagi menyelamatkan harta bendanya.

“Saya sekeluarga bukan tidak mahu berpindah tetapi demi keselamatan harta benda kami di rumah. Jika ditinggalkan di sini takut dimasuki orang-orang yang tidak bertanggungjawab,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Baguh.

Menurutnya, dia reda dengan sebarang kemungkinan berlaku kerana perkampungan tersebut sudah biasa dinaiki air kerana kawasan tersebut rendah dan berdekatan dengan Sungai Golok.

“Namun kami akui setiap kali banjir, sudah tentu barang-barang rumah pasti ada yang rosak kerana tidak sempat untuk diselamatkan. Situasi banjir ini sudah menjadi rutin yang kami terpaksa lalui setiap kali musim tengkujuh tiba,” katanya.

Warga emas, Senit Ahmad, 72 berkata, dia terpaksa segera berpindah ke pusat perpindahan di Stesen Kereta Api Lama, Kampung Kedai Lama disebabkan rumahnya dinaiki air sedari pagi semalam lagi.

“Hujan yang turun kadang kala lebat dengan angin kencang menyebabkan paras air sungai semakin naik dan melimpah ke kawasan kampung ini kira-kira jam 12 tengah hari tadi,” katanya.

Senit berkata, dia bersyukur air banjir kali ini naik pada siang hari kerana jika ia melanda di malam hari, tentu dia serta penduduk di sini tidak dapat bersiap sedia daripada awal.

“Bagi menyelamatkan nyawa, saya redah air banjir yang semakin deras untuk ke pusat pemindahan walaupun keadaan yang uzur tetapi mujurlah air naik siang hari, jika malam, tentunya lebih merumitkan dan membahayakan penduduk di kawasan yang teruk dinaiki air,” katanya.

Sementara, ibu tunggal yang ditemui di pusat pemindahan tersebut, Che Senah Harun, 60 berkata, air di kawasan rumahnya naik sejak pagi tadi lagi menyebabkan dia segera ke pusat perpindahan tersebut.

“Saya segera pindah apabila air mula menaiki dua anak tangga rumah kerana bimbang air akan naik lagi seperti banjir sebelum ini,” katanya yang tinggal berdua bersama anak perempuannya, Hayati Harun, 29.

Sementara itu di KUALA KRAI, seramai 63 mangsa banjir daripada 17 keluarga masih berada di dua pusat —  sinar harian