Salam perjuangan….

Saya ingin mengucapkan syabas kepada YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar diatas pengakuan yang jujur mengenai kesilapan kerajaan Negeri Melalui PMBK di dalam kes pembinaan Bazaar Tok Guru sehingga menyebabkan kerajaan perlu mengeluarkan duit RM 23 juta bagi membayar pendahuluan sebelum di jual kepada peniaga pasar MPKB dan Arked UDA.  Saya akan lebih berbangga jika sekiranya Tok Guru MB boleh mengambil tindakan segera kepada orang yang menyebabkan kerajaan membuat keputusan yang silap tadi.  Apakah keputusan ini di buat oleh Tok Guru semata-mata tanpa dinasihatkan oleh seseorang.  Apakah orang yang memberikan nasihat yang salah kepada Tok Guru tidak berani untuk bertanggungjawab dan seterusnya menyerahkan kepada Tok Guru untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ?

Tok Guru sekali lagi berani mengakui bahawa terdapat budaya cah keting dalam PAS.  Satu kenyataan yang pahit untuk di sebut setelah hampir 20 tahun PAS memimpin Kelantan yang diharapkan menjadi contoh akhlak yang mulia kepada pemimpin PAS di Negeri lain.  Namun inilah mungkin cabaran kepada pemimpin yang telah lama berkuasa yang semakin hari di lihat sanggup meniru budaya UMNO untuk di bawa masuk ke dalam PAS.  Saya juga akan berbangga jika Tok Guru menubuhkan segera sebuah jawatankuasa khas di badan perhubungan untuk menyiasat dan membutirkan lagi siapa yang mengamalkan politik cah keting dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya mengikut budi bicara tok guru yang bijaksana..

Saya juga kagum dengan Kekanda Dato Takiyuddin kerana lantang bersuara meminta Tok Guru menyiasat siapa yang membocorkan maklumat di dalam MMK atas alasan keputusan mesyuarat MMK tertakluk kepada akta OSA.  Saya juga ingin meminta kekanda Dato Takiyuddin supaya lantang juga bersuara kepada  YAB Tok Guru supaya menyiasat bagaimana kerajaan Negeri Kelantan gagal menghantar wakilnya untuk mempertahankan keputusan Mahkamah dalam isu pembayaran 800 juta kepada sebuah syarikat Timber Mine yang lalu ? Apakah tidak ada peringatan dari Mahkamah supaya sekurang2nya LA supaya hadir pada hari kes tersebut diputuskan ?  Siapa sebenarnya yang tidak memberikan nasihat yang betul kepada Tok Guru dalam isu timber mine ini ?

Saya ingin mencadangkan sebuah jawatankuasa di peringkat badan perhubungan PAS Kelantan ditubuhkan untuk menyiasat siapa yang mengamalkan politik cah keting sebagaimana dakwaan Tok Guru  dan juga siapa yang memberikan nasihat yang tidak betul kepada Tok Guru MB dalam isu bazaar Tok Guru dan Isu Timber – Mine sehingga menyebabkan Kerajaan Negeri silap membuat keputusan.

Berani kerana benar