Salam perjuangan…

Alhamdulillah saya berkesempatan berada di perhimpunan raksaksa rakyat Kelantan mendengar penjelasan Isu Royalti oleh YBM Tengku Razaleigh Hamzah.  Kehadiran rakyat dari segenap pelusuk tanahair Kelantan serendah sekebun bunga telah memenuhi setiap parking yang ada di sepanjang jalan.  Saya sendiri terpaksa meminta tolong Unit Amal untuk memasuki parking khas yang disediakan kepada VIP.

Apa yang menarik perhatian saya ialah keberanian Kuli untuk memberikan penjelasan sebenar walaupun berbeza pendirian dengan parti pemerintah. Walaupun di larang untuk hadir Kuli dengan selamba menjawab peduli apa. Penerangan Kuli yang cukup mudah, jelas dan difahami oleh semua yang hadir dan kemudiannya dirumuskan oleh moderator Dr Abu Hassan Hasbullah pensyarah UM bahawa Kelantan wajib memperolehi Royalti dan bukannya wang ehsan.  Duit Royalti hendaklah digunakan untuk memajukan negeri Kelantan setanding dengan negeri lain di pantai barat Malaysia.  Perjanjian wajib dipatuhi walaupun sesiapa yang memerintah sesebuah negeri kerana ianya di buat oleh Petronas dengan Kerajaan Negeri bukannya dengan parti yang berkuasa.

Akhirnya Kuli menamatkan ucapan dengan menegaskan bahawa rakyat Kelantan walaupun miskin tetapi tidak lah sampai menjadi peminta sedekah. Saya anggap isu tuntutan royalti ini telah selesai dengan penjelasan Kuli malam tadi.  Sekarang ini terpulang kepada Petronas dan juga Persekutuan untuk membayar royalti atau ehsan.  Jika Malaysia tidak mampu berpegang kepada janji dan menghormati undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen maka jangan diharap negara lain juga akan menghormati kita…