KOTA BHARU, 7 Feb: Dewan Pemuda PAS Kelantan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pengerusi perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed kerana didakwa bertindak di luar bidang kuasa berhubung wang ehsan negeri itu.

Laporan berkenaan dibuat anggota jawatankuasa Dewan Pemuda PAS negeri, Mohammad Abdul Rashid Yah yang juga seorang peguam.

Mustapa sebelum ini dilaporkan menyebut Perhubungan Umno Kelantan akan berjumpa dengan Datuk Seri Najib Razak bagi membincangkan projek hasil wang ehsan.

Abdul Rashid berkata, tindakan Umno Kelantan itu bersalahan dengan bidang kuasa mereka yang tidak pernah diberi oleh kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan hasil berkaitan royalti petroleum.

Katanya, keghairahan pemimpin Umno terbabit dibimbangi boleh menyebabkan berlaku penyelewengan terhadap penyaluran wang tersebut.

“Oleh yang demikian saya memohon pihak SPRM mengadakan siasatan bagaimana yang diperuntuk di bawah Seksyen 29 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya kepada pemberita di pejabat SPRM di sini.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, laporan itu dibuat bertujuan membolehkan SPRM menyiasat memandangkan usaha tersebut dibimbangi berlakunya penyelewengan duit dari hasil royalti petroleum.

Menurutnya, pengendalikan wang royalti di bawah agensi yang dipertikaikan rakyat Kelantan seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dianggap satu cara yang tidak sah.

“Tindakan Ketua Umno Jeli itu di luar bidang kuasa Umno Kelantan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri yang dipilih rakyat,” katanya.

Hadir sama di pejabat SPRM, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hisyam Fauzi, bendahari, Wan Azimin Wan Adnan dan exco dewan berkenaan.

Manakala pada waktu yang sama ada sekumpulan lagi yang membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu (IPD) di Pengkalan Chepa berhubung penghinaan penulis blog terhadap Tuan Guru MB Kelantan.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri, Hisham Fauzi berkata, blog itu ditulis seorang yang menggunakan nama jeffrydamien yang menggambarkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sedang diliwat Anwar.

“Pihak kami memandang perbuatan itu amat tidak wajar dilakukan dan bersifat provokatif yang boleh menyebab berlakunya ketidakstabilan politik negara.

“Tindakan itu juga tidak bertanggungjawab. Kami memohon pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada bloger terbabit kerana bertindak di luar batasan,” tegasnya.

Beliau yang juga seorang peguam berkata, siasatan boleh dibuat mengikut Akta Multimedia, Akta Fitnah dan Kanun Keseksaan yang mempunyai peruntukan jelas mengenai perbuatan fitnah.

Menurutnya juga bloger terbabit dikenal pasti berasal dari Johor dan merupakan salah seorang Cyber Troopers Umno memandangkan ada link dengan Unit Media Umno Wangsa Maju.

Selain itu kata beliau perbuatan bloger tersebut memburuk-burukkan imej  Menteri Besar Kelantan dan Anwar secara tidak langsung menyentuh mengenai perbicaraan mantan Timbalan Perdana Menteri itu di mahkamah dan boleh dianggap subjudis.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, tindakan bloger terbabit sebenarnya turut mencemarkan imej negara kerana secara tidak langsung mereka mempamerkan identiti masyarakat di negara ini.

“Sampai begitu sekali rakyat Malaysia sehingga tidak tahu halal haram serta nilai murni dan moral begitu rendah sekali,” ujarnya.

Katanya kemudahan teknologi maklumat seharusnya digunakan untuk kebaikan dan bukannya memburuk imej seseorang.

Menurutnya, tindakan itu bukan sahaja merosakkan imej mereka di dunia sebaliknya akan mendapat balasan azab di akhirat kelak.

Ditanya kehadiran di mahkamah bagi mengikuti perbicaran kes dakwaan liwat terhadap Anwar baru-baru ini katanya, beliau hadir sebagai tanda simpati terhadap orang yang teraniaya.

“Saya pergi tanda simpati pada orang yang saya anggap telah dianiaya.

“Masalah tuduhan zina, liwat mana ada orang buat depan orang ramai, tentu buat dalam kelambu, nyamuk pun tak ada, jangankan manusia, tetapi tiba-tiba  dituduh secara terbuka,” ujarnya.

Advertisements