Alhamdulillah, Tengku Muhammad Faris Petra telah di mahsyurkan baru-baru ini sebagai Sultan Kelantan dan ianya adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda, Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.

Tuanku Muhammad Faris Petra merupakan putera sulung Sultan Kelantan sebelum ini, Tuanku Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra. Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Bendahara Tengku Muhammad Faiz Petra, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra dan Tengku Amalin A’Ishah Putri.

Baginda mendapat pendidikan awal di Kota Baharu dan di Kuala Lumpur dan seterusnya di Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang Kajian Diplomatik di Kolej St. Cross dan Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Tuanku Muhammad Faris Petra diputerakan pada 6 Okt 1969 dan dianugerahkan gelaran Tengku Mahkota Kelantan pada Oktober 1985 dan sejak pelantikan itu baginda telah menunjukkan kecenderungan untuk mempelajari dan mendalami selok belok pentadbiran negeri.

Baginda mula menarik perhatian seluruh negara dengan liputan meluas media ketika bertitah merasmikan Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur pada 2008.

Ketika bertitah pada majlis itu, baginda secara terbuka mengingatkan usaha penyatuan Melayu perlu diberi keutamaan yang tinggi berikutan kedudukan orang Melayu dan Islam yang kian tercabar kerana ia boleh menjejaskan keharmonian negara. Baginda berharap segala perbezaan pendapat dan perbelahan diketepikan melalui jalan yang bijaksana dengan perpaduan ummah harus diutamakan demi agama, bangsa dan negara sebagaimana yang diimpikan oleh semua.

Dalam hubungan dengan rakyat, baginda ternyata mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam-diam dan di luar pengetahuan media, baginda menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Umum juga mengetahui hubungan yang akrab baginda dengan ayahanda baginda dan kegeringan Tuanku Ismail Petra pada 14 Mei tahun lalu membuatkan baginda diselubungi kesedihan dan berasa tertekan. Baginda pernah mengimamkan solat hajat bersama-sama rakyat jelata sebelum ini bagi memohon kesejahteraan ayahanda baginda. Pada 24 Mei tahun lalu, Tuanku Muhammad Faris Petra telah dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan setelah ayahanda baginda mendapat rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Pelantikan itu membolehkan baginda menjalankan tugas Sultan Kelantan mengikut perenggan (b) Fasal (1) dan (3) Perkara 22A Undang-undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) yang menurut pakar perundangan mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan mengikut Perkara 4 Fasal 1 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan dan Majlis Perajaan Negeri mengikut peruntukan tersebut.

Tercatat sudah, baginda merupakan seorang pemimpin yang boleh mengimamkan solat untuk rakyatnya, yang boleh membacakan doa demi rakyatnya, yang boleh mengetuai bacaan al-Quran, memberi kuliah agama, menyembelih lembu Qurban dan sebagainya..mungkin ini adalah keberkatan apabila negeri dipimpin oleh kepimpinan yang menjadikan Islam sebagai teras pemerintahan…

Maka lengkap sudah sebuah kerajaan yang bertunjangkan matlamat “Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur”, dari setinggi2 kepimpinan sehingga serendah2 kepimpinan seterusnya rakyat jelata. Semoga Allah memanjangkan umur Tuanku, dan sejahtera seluruh rakyat Kelantan dibawah pemerintah kepimpinan Islam.

DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU! DAULAT TUANKU!


Advertisements