Salam perjuangan..

Kata orang, menang dan kalah adalah lumrah dalam kehidupan. Ianya menjadi ketentuan tuhan sejak azali. Begitu juga dalam perjuangan, adakalanya kita menang dan ada kalanya kita kalah. Kekalahan dalam perjuangan bukan bererti kita akan kalah selama-lamanya, begitu juga dengan sebuah kemenangan. Kemenangan yang dicapai juga bukan bererti kemenangan selama-lamanya. Bergantung kepada kita untuk mengurus kemenangan tersebut, di samping menerima kekalahan dengan hati yang terbuka.

Kata ahli politik terkemuka, dalam amalan demokrasi, tidak ada satu kuasa politik di atas muka bumi ini yang kekuasaannya akan kekal selama-lamanya.

Perjuangan memerlukan sejuta pengorbanan. Usah terlalu bangga dengan kemenangan, usah terlalu kecewa dengan kekalahan. Redha dengan kekalahan bukan bermakna Islam itu kalah. Sebagai pejuang kita mesti positifkan kekalahan yang berlaku di Galas dengan membuka minda dan hati kita secara terbuka dan meluas untuk mencari hikmah di sebalik kekalahan tersebut.

Ajaibnya, setiap ketentuan Allah ada hikmahnya. Terokailah hikmah dan rahsia di sebalik kekalahan untuk kita baiki segala kelemahan, muhasabah atau post mortem. Ini bukannya masa untuk menuding jari kpd sesiapa.

Alhamdulillah, kita sudah kaya dengan pengalaman ditimpa kekalahan. Jatuh bangun yang menjadi rencah dalam perjuangan. Kita pernah jatuh tersungkur, lalu bangkit berdiri bersama pimpinan yang berpandangan jauh, terbuka minda dan berlapang dada terhadap sesiapa sahaja yang mengkritik dengan tujuan membina.

Berbalik kepada PRK Dun Galas baru-baru ini. Sejujurnya, saya telah menduga kekalahan ini. Percaya atau tidak, ianya merupakan nikmat terbesar yang telah membangkitkan kita semua dari lena yang berpanjangan. Sedikit sebanyak ianya telah menyedarkan pimpinan, supaya rajin turun padang, menjuarai isu2 rakyat bukannya hanya meletakkan tugas tersebut sepenuhnya di bahu petugas parti. Saya amati, hanya beberapa kerat sahaja pimpinan yang turun padang bersama petugas, sedangkan pada saat-saat getir seperti ini, mereka perlu bertungkus-lumus menggerakkan jentera parti bukannya ke luar negeri atas urusan peribadi atau sebagainya.

Mungkin peristiwa perang Bukit Uhud semasa zaman kegemilangan islam boleh dijadikan ukuran. Betapa tegasnya Rasulullah yang mengarahkan pemanah supaya tidak meningalkan tempat masing2. Tetapi, arahan tersebut diingkari kerana secebis harta rampasan perang yg mengakibatkan tentera islam telah tewas dalam peperangan tersebut. Begitu juga halnya dengan PRK Galas, dimana sepatutnya para pimpinan berkubu bersama jentera parti mempertahankan benteng ini. Ianya ternyata jauh berbeza dgn jentera pihak lawan.

Seharusnya, kita jangan rasa begitu selesa dengan jumlah kerusi DUN yang banyak dan berpihak kepada PAS, kerana UMNO sentiasa mengintai-intai peluang untuk menjatuhkan kerajaan islam ini. Sikap leka serta sindrom selesa pastinya akan memakan diri, sekiranya kita tidak berwaspada. Sedarlah, sekiranya silap strategi, silap pengaturan, silap perkiraan atau sebagainya boleh menyebabkan kerajaan PAS Kelantan jatuh ! Nauzubillah.

Semoga kekalahan di Galas akan mengajar kita erti perjuangan yang sebenar, pengorbanan dan keikhlasan. Saya juga pemimpin, petugas parti yang inginkan perjuangan suci ini terus subur di bumi. Sepatutnya kita contohi sirah perjuangan para anbiya’, para sahabat dan para mujahid sepanjang zaman yang memperlihatkan kualiti perjuangan yang tinggi.

Wallahua’lam