Salam perjuangan…..

Hari ini 11 Mac 2011 berlangsunglah mesyuarat agung pemuda dan muslimat PAS Kawasan Kubang Kerian.  Bulan Mac dan April ini ialah bulan mengadakan mesyuarat agung di peringkat pemuda dan muslimat kawasan. Tahun ini semua mesyuarat agung mempunyai agenda pemilihan.   Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Bermesyuarat Agung dan semoga ianya berjalan seperti yang diinginkan.  Saya juga ingin mengucapkan Selamat bersara kepada mana-mana individu pemuda yang telah melebihi usia kepemudaan.  Semoga antum mendapat tempat yang lebih baik di peringkat kawasan. Tahniah khusus kepada pemuda dan muslimat kawasan Kubang Kerian kerana sekali lagi melakar sejarah menjadi pemuda dan muslimat kawasan yang mengadakan mesyuarat agung di Malaysia pada tahun ini.

Mesyuarat agung adalah medan untuk kita bermuhasabah terhadap segala aktiviti yang telah kita lakukan sepanjang setahun yang lepas.  Setakat mana ketekunan amilin untuk menjalankan amanah yang diberikan ? Sejauh mana pula penerimaan pengundi muda terhadap kehadiran pemuda dan muslimat PAS ?  Saya menyebutnya di sini kerana mengikut kajian yang dilakukan oleh sebuah badan ngo menunjukkan bahawa segala program yang dilakukan oleh kerajaan Negeri kelantan tidak mencapai sasaran yang sebenarnya.  Program masih dalam lingkungan orang-orang muda PAS sahaja.  Ianya tidak mampu menarik penyertaan golongan atas pagar malah jauh sekali boleh menarik kehadiran pemuda dari BN.

Bagi muslimat pula, memang jika dibandingkan penyertaan muslimat dalam setiap aktiviti yang dianjurkan maka di lihat muslimat lebih ramai berbanding penyertaan pemuda dalam satu-satu program.  Namun yang perlu dimuhasabah kan di sini ialah sejauh mana muslimat boleh menarik penyertaan orang-orang muda muslimat ataupun dikenali dengan panggilan NISA.  Sejauh mana nisa ini boleh bersama dengan PAS dalam menggerakkan perjuangan parti ?

Dalam masa yang sama mesyuarat agung ini juga sebagai medan untuk kita mengatur perancangan untuk melebarkan lagi perjuangan yang di bawa.  Gelombang Merah yang dilancarkan oleh BN Kelantan seharusnya jangan di pandang ringan.  Pemuda dan Muslimat PAS hendaklah mengambil satu tindakan yang pro aktif untuk membendung gerakan gelombang merah dan seterusnya merangka satu pelan bertindak supaya pemuda dan muslimat PAS pula memacu pergerakan orang muda dan wanita Kelantan.  Jangan sampai kita bersifat terikut dengan rentak yang diatur oleh BN.

Mungkin luahan ini sedikit sebanyak terpikul juga di bahu sendiri. Namun saya ingin mengajak semua pihak yang sayangkan PAS supaya bertekad untuk terus berbakti dengan segala yang ada. Ingatlah tanggungjawab ini tidak mungkin mampu dilakukan secara individu maka Jamaahlah yang harus ke depan untuk memimpin gerak kerja ini.