Salam perjuangan……..

Alhamdulillah saya sekali lagi mempunyai kesempatan untuk berkongsi pandangan dengan semua sahabat di alam blog.  Saya akui di atas faktor kesibukan yang bertalu-talu ke atas diri saya menyebabkan saya agak jarang dapat menulis di dalam blog ini.

Saya mulakan catatan ini dengan merujuk kepada muktamar pemuda,muslimat, ulama dan PAS yang akan berlangsung pada 1 JUN hingga 5 JUN 2011 nanti.  Di mana kita melihat kemeriahan pemilihan kali ini agak ketara di mana kita menyaksikan hampir kesemua jawatan utama parti dipertandingkan kecuali dewan ulama dan presiden PAS.  Saya melihat wujudnya demokrasi yang terpimpin dalam PAS di mana kepimpinan dan ahli boleh melalui semua episod perjuangan ini dengan penuh tertib dan disiplin yang tinggi sebagaimana yang dibenarkan oleh perlembagaan.  Saya tidak bersedia untuk mengulas siapa yang akan menang dan siapa pula yang kalah. Namun telah menajdi adat dalam pertandingan mesti ada yang menang dan ada yang kalah.  Jesteru itu mengurus perasaan menang dan kalah sesudah muktamar PAS berlangsung juga sesuatu yang agak unik di dalam PAS.  Ramai yang berkata kabinet PAS bagi sesi 2011/2013 ialah kabinet yang akan berdepan dengan pilihanraya umum ke 13.  Kabinet yang bertanggung jawab merangka pelbagai strategi untuk memastikan PAS mampu mempertahankan kerusi yang sedia ada dan menawan kerusi target untuk memberikan keselesaan kepada PAS bagi menjayakan misi menawan Putrajaya di suatu masa nanti.

Ahli PAS yang juga menjadi perwakilan sudah semestinya mempunyai satu pandangan tersendiri untuk memilih kepimpinan mereka menjelang muktamar di semua peringkat nanti.  Apapun yang pastinya kita semua mesti mengangkat satu saf kepimpinan yang mampu menjana kemenangan dan memperkukuhkan parti kita dari cabaran luaran dan dalaman. Alhamdulillah saya juga terpilih menjadi perwakilan di peringkat DPPP dan PAS Pusat dan semestinya saya akan menggunakan satu undi yang saya miliki untuk memilih kepimpinan yang terbaik pada pandangan saya.

Isu yang kedua berada dihadapan kita ialah PRU ke 13 yang dijangka sangat hampir dengan kita di mana UMNO telah mengarahkan semua jenteranya untuk bersedia menghadapi pru pada bila-bila masa khasnya untuk simulasi pru olok-olok mereka pada bulan julai ini.  Selain itu, projek menukar alamat IC dan memberikan IC kepada pendatang asing untuk menjadi deposit kepada UMNO sedang dilakukan secara agresif oleh jentera mereka samada di peringkat parti atau jentera kerajaan yang diperkudakan demi mempertahankan dan merampas balik kerusi yang mereka pertandingkan.  Jika benar dakwaan bahawa PRU ke 13 bulan Julai maka daftar pemilih yang masuk dan sempat didaftarkan pada suku ke 2 ini iaitu tamat sehingga 16 Jun adalah daftar yang akhir yang akan digunakan untuk pegundi dalam pru 13 nanti.  Saya melihat tumpuan jentera dan ahli PAS sedikit bercelaru dan tidak berfokus kerana sibuk untuk memenangkan calon mereka dalam perebutan jawatan semasa muktamar dan masa yang sama seolah mengabaikan tugas untuk membantah dan membuat tuntutan serta menggerakkan operasi daftar pemilih di peringkat DUN masing-masing.

Apakah suasana yang hangat di muktamar digembar-gemburkan media untuk mengelabui mata pendokong PAS dari mempertahankan kubu masing-masing dari pencerobohan musuh tradisi PAS melalui operasi daftar pemilih bersepadu yang dilakukan oleh jentera UMNO dan dipermudahkan dengan bantuan jentera kerajaan. Jika ini berlaku maka PAS akan jadi menang sorak tapi kampung tergadai.  Saya mengharapkan telahan dan pandangan saya ini tidak betul.  Ya Allah engkau lah yang maha berkuasa untuk memberikan kemenangan kepada sesiapa yang engkau kehendaki dan engkau yang berkuasa mengalahkan sesiapa yang engkau kehendaki. Tolong dan bantulah kami mengatasi musuh kami yang zalim……….