JUHAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional yang bersikap bacul dan dayus kerana menjalankan penangkapan dan pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Pakatan Rakyat di sebalik bayangan Akta Hasutan. 
 
Pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri yang baru dilantik; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat seolah-olah cuba membuktikan sesuatu kepada Perdana Menteri apabila bersikap menggila secara tiba-tiba dengan berterusan membuat tangkapan demi tangkapan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat termasuk membuat rampasan terhadap akhbar-akhbar lidah rasmi Pakatan Rakyat. 
 
Tindakan menggila Dato Zahid Hamidi ini seumpama budak suruhan yang dicucuk hidungnya dan menurut apa sahaja yang diarahkan oleh tuannya secara membuta tuli demi membuktikan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi.
 
Sikap menggila Ahmad Zahid Hamidi ini bertambah tatkala Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan berlakunya pemilihan yang akan menyaksikan para pemilih UMNO akan menentukan sama ada kepimpinan UMNO yang ada masih relevan untuk dikekalkan tatkala undi popular Barisan Nasional serta keputusan Pilihanraya Umum ke-13 terus menyaksikan wujudnya petunjuk prima facie bahawa UMNO dan Barisan Nasional sedang menuju kepupusan. 
 
Malangnya, kerakusan serta keangkuhan Ahmad Zahid Hamidi ini telah dilampiaskan kepada rakyat yang semakin berani dan bersatu untuk menamatkan terus riwayat UMNO dan Barisan Nasional dari muka bumi ini. Akibatnya, ugutan demi ugutan telah dibuat bagi menghalang rakyat dari terus mara ke hadapan. 
 
Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak sedar bahawa tindakannya kini seolah-olah kembali ke zaman batu dan jahiliyyah apabila mengamalkan undang-undang rimba dan tidak menghormati kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Maka tidak hairanlah sahabat karibnya yang digugurkan dari barisan kabinet, Datuk Seri Noh Omar telah mengajak rakyat untuk tinggal di dalam hutan. Mungkin hutan rimba ini amat sinonim dengan pemikiran rimba dan jahiliyyah  Ahmad Zahid Hamidi dan budak-budak suruhan sepertinya  di dalam UMNO dan Barisan Nasional.
 
Walau bagaimanapun, JUHAM mengalu-alukan kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi yang ditunggang oleh UMNO dan Barisan Nasional ini, kerana ia seumpama minyak yang dicurah ke api yang akan menyemarakkan lagi penolakan rakyat terhadap mereka. 
 
Ahmad Zahid Hamidi dicabar untuk terus membuat penangkapan rimba ini, kerana JUHAM akan terus komited tanpa jemu untuk mewakili rakyat dan bertemu anjing-anjing suruhan UMNO dan Barisan Nasional di Mahkamah yang menjadi mangsa kegilaan Ahmad Zahid Hamidi ini. See you in Court!

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
Pengarah JUHAM
Dewan Pemuda PAS Malaysia