QARYAH RAMADHAN :- MARI MENYEMAI IMAN BERSAMA

Tinggalkan komen

Bismilllahirrahmanirrahim…

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa” [Al-Baqarah]

Alhamdulillah, untuk tahun yang berikutnya kita semua di panjangkan umur, diberikan peluang dan ruang oleh Allah Azza Wajalla untuk beribadah di bulan yang mulia ini. Bulan Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan dan kerahmatan. Kehadirannya sentiasa di rindui oleh para kekasih Allah. Yang mengharapkan keampunan dan jaminan kemerdekaan dari pada api neraka.

Untuk kesekian kali juga, saya berpeluang berterawikh di Qaryah Ramadhan, di perkarangan Stadium Sultan Mohd IV. Satu kenikmatan yang amat indah untuk di ceritakan.

Beribadah di dalam khemah berhawa dingin saiz 3,200 kaki persegi yang dapat menampung kira-kira 3,000 jemaah yang pertama seumpamanya di negara ini, mendapat sambutan menggalakkan.

Bermula dengan pelbagai pengisian program di waktu petang, berbuka puasa dengan juadah yang disediakan secara percuma yang di sumbangkan oleh para dermawan, menunaikan solat terawih berimamkan imam dari Mesir, di selangi dengan tazkirah ramadhan, relay bacaan al quran, qiamullail sehinggalah bersahur beramai-ramai.

Saya di fahamkan juga, beberapa acara baru akan diadakan pada tahun ini, antaranya Majlis Tilawah Al Quran antara pihak berkuasa kerajaan tempatan (PBT), Majlis Khatam Al Quran melibatkan 3,000 orang, bacaan 1,000 Yaasin, Forum Badar Qubra dan persembahan nasyid.

Pendek kata,semuanya ada di Qaryah Ramadhan.
Tepuk dada tanyalah iman anda.


SELAMAT DATANG RAMADHAN

Tinggalkan komen

“Ramadhan bakal datang menjelang
Kaum muslimin semuanya senang
Suasana pun bisa jadi tenang
Kerana ianya bulan kemenangan

Ramadhan adalah bulan yang penuh berkat, rahmat, dan ampunan. Melakukan kebajikan pada bulan Ramadhan, akan di ganjarkan oleh Allah dengan sejumlah ganjaran. Secara tepatnya, pahalanya jadi berkali lipat.

SAMBUTLAH DENGAN RASA SYUKUR
Rasulullah SAW telah menegaskan dalam satu hadisnya yang bermaksud :- Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan, bulan yang penuh dengan keberkatan. Di mana Allah mewajibkan kepada kamu berpuasa, kerana pada bulan Ramadan dibukakan semua pintu syurga, dikuncikan pintu-pintu neraka dan di belenggukan syaitan, dan juga terdapat suatu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan, barang siapa terlepas daripada mendapat kebajikan pada malam ini, bererti tertegahlah kepada segala bentuk kebaikan.”

Yang menghairankan bagaimana kejadian buruk masih lagi berlaku, sedangkan di bulan Ramadan segala syaitan dan kuncu-kuncunya telah dirantai dan dibelenggu, umpat mengumpat misalnya menjadi bualan mulut, kata-kata dan kata-kata kesat masih meniti di bibir-bibir mulut, malah yang mengaibkan lagi ada juga sebahagiannya yang sanggup melakukan perkara-perkara yang mencemarkan imej Islam.

MATLAMAT
Keadaan ini terjadi kerana matlamat puasa kita itu belum lagi mencapai tahap yang dikehendaki iaitu tahap sebagai benteng pertahanan jiwa. Seandainya jiwa belum lagi terbentuk sebagai benteng yang kukuh senanglah nafsu syahwat yang sedia ada dalam jiwa mengajak ke arah keburukan.

Ibadat puasa mempunyai hikmah dan rahsia-rahsia sama ada dari segi rohaniah, jasmaniah dan kemasyarakatan. Dari segi kerohanian ia boleh menundukkan nafsu jahat yakni naluri atau perasaan yang mendorongkan kepada kejahatan. Ibadat ini bukan sahaja terdapat di dalam syariat Islamiah, malahan di dalam syariat-syariat lain juga ada memfardukan ibadat puasa miskipun keyakinan jiwanya berlainan.

Hikmah puasa dari sudut rohani juga boleh menguatkan keperibadian, meluhurkan kesusilaan dan membersihkan jiwa insan. Puasa juga sebagai latihan rohaniah yang mana setiap yang berpuasa wajib menahan diri daripada nafsu makan minum, nafsu kejantinaan dan mengawal moral yang rendah dan menyakitkan orang lain seperti mencela, caci maki, mengumpat, bercakap kotor dan mengikut keinginan nafsu. Untuk membentuk keperibadian yang mulia seorang pengarang Jerman, James Brooke menulis sebuah buku yang mana di dalam tulisannya beliau memuji hikmah berpuasa, katanya, “Untuk menguatkan perasaan dan jiwa hendaklah jadikan puasa ini sebagai pokok atau dasar hidup, kerana ia paling berkesan untuk mengawal pengaruh rohaniah keinginan jasmaniah. Jesteru itu manusia boleh menguasai dirinya sendiri agar tidak menjadi hamba kepada naluri kebendaan.” Puasa dari sudut kesihatan dan rawatan penyakit. Ibadat puasa merupakan sebahagian daripada cara-cara yang paling berkesan menjaga kesihatan bertepatan dengan kata-kata seorang ilmuan yang bermaksud: “Maidah” atau perut besar merupakan sarang penyakit dan berpantang itu pokok kepada segala ubat.

Imam al-Ghazali juga memberi penjelasan iaitu: “Perut besar seseorang yang kenyang, maka tidur nyenyaklah akal fikiran dan kaku bekulah kecerdasan dan kebijaksanaan. Akhirnya malas dan lesu seluruh anggota badan daripada menunaikan ibadat. Penjelasan dari Imam al-Ghazali itu dapat kita fahami bahawa kekosongan perut orang yang berpuasa bukanlah merupakan satu azab atau penderitaan kepada mereka sebaliknya ia merupakan satu langkah untuk memperolehi kecergasan rohani dan kesegaran jasmani kerana akal fikiran ketika berpuasa sedang membangun.

Ada orang beranggapan puasa boleh menjejaskan kesihatan. Dalam konteks ini memang kumpulan kecil yang perlu dikenal pasti supaya dapat nasihat daripada doktor berhubung dengan berpuasa. Ada penyakit seandainya seseorang itu berpuasa boleh menjanjikan kesihatan dan Allah SWT telah memberi rukhsah atau kelonggaran kepada mereka yang uzur supaya tidak berpuasa. Kalau dilihat Allah SWT pencipta manusia dan alam lebih mengetahui akan perkara yang paling baik untuk kejadiannya dan sudah termaktub di dalam Al-Quran akan kelonggaran tersebut.

Wassalam..

PUASA 6

Tinggalkan komen

Selamat berpuasa sunat buat semua…

Sahabat2 sekalian, sesungguhnya puasa enam hari pada Syawal amat besar ganjaran ditawarkan Allah. Ia disebut secara jelas oleh Rasulullah SAW dlm hadis :- “Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun.” (HR – Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah). Ini bermakna dengan berpuasa sunat selama enam hari pada Syawal selepas berpuasa wajib pada Ramadan, seolah-olah mereka berpuasa sepanjang tahun. Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadan, maka digandakan menjadi 300 hari, manakala puasa enam hari pada Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari. SUBHANALLAH !!

Bagaimanakah pula kaedah menunaikan puasa sunat pada Syawal jika puasa Ramadan masih belum diganti atau qada? Persoalan itu juga mempunyai beberapa pandangan. Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dulu. Ini kerana puasa qada adalah wajib dan puasa enam adalah sunat. Hal yang sama berlaku ke atas solat tahiyatul masjid. Jika seseorang memasuki masjid dan terus melakukan solat fardu, maka dia akan diberi ganjaran dua pahala sekali gus.

Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah, maka memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan antara yang wajib dengan sunat lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba. Lakukan ibadat sunat ini sama ada berpuasa secara berturut-turut atau berselang-seli. Begitu juga dengan puasa qada.

Lakukanlah sama ada secara digabungkan puasa enam dengan puasa qada ataupun secara berasingan. Terpulanglah kepada diri kita sendiri berdasarkan kemampuan masing-masing. Hal ini kerana ganjaran ditawarkan Allah amat besar. Ia juga adalah tambahan kepada kekurangan yang diimbangi oleh zakat fitrah.

Semoga kita berkekalan dalam rahmatNYA.

Aamiin..

6

SYAWAL & SILATURRAHIM

Tinggalkan komen

Assalamualaikum dan Salam Keberkatan syawal.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana telah diberi kesempatan oleh Allah swt untuk kembali menulis setelah bercuti menyambut lebaran.
Lebaran tiba lagi. Saat ini, sebagaimana lazim, kita merayakannya dalam suasana yang riang dan gembira. Amalan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi, bersama sanak saudara dan sahabat handai. Semoga kita menyambut Aidilfitri ini mengikut seperti mana yang telah dianjurkan oleh syara’ dengan tidak mencemari dan merosakkan keimanan yang telah kita sucikan disepanjang bulan Ramadhan.

Antara perkara yang dianjurkan oleh syara’ itu ialah :-

  • Bermaaf-maafan, perkara ini bukan hanya dilakukan pada hari raya sahaja, bahkan sewajarnya dilakukan dari masa ke semasa dengan seberapa segera, demi mengukuhkan ikatan persaudaraan agar terus menjadi erat dan mesra.
  • Kunjung mengunjung, ianya merupakan tanda persaudaraan dan silaturrahim. Mengujudkan hubungan silaturrahim ini merupakan salah satu yang dituntut oleh Islam bahkan dengan mengujudkan silaturrahim itu adalah jalan kepada hubungan dengan Allah Subhanahu Wataala.
  • Menyambut dengan cara yang berpatutan baik dari segi mengadakan jamuan, perhiasan, mahu pun pakaian, jangan sampai wujud pembaziran yang akan menyebabkan kita menanggung beban dikemudian hari. Hari raya ini bukan untuk kita menunjuk-nunjuk atau berbangga-bangga, akan tetapi hari raya adalah hari untuk kita meningkatkan hubungan kita dengan Allah.
  • Janganlah hendaknya ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berhari raya dengan yang bukan mahramnya, balik hingga lewat malam dan menjadikan hari raya ini sebagai hari pergaulan bebas diantara mereka dan kawan-kawan.

Syawal ini, marilah kita rayakan dengan cara yang sederhana tetapi yang penting, ia adalah melahirkan rasa syukur kepada Allah. Janganlah pula kita korbankan kesan didikan daripada puasa itu dengan kita kembali mengikut hawa nafsu kepada perbuatan maksiat. Jiwa yang sudah dibersihkan, dikotorkan semula. Fikiran yang dijernihkan dengan bacaan Al-Quran diracuni dengan kefahaman yang karut, perangai atau akhlak yang sudah pulih, kita rosakkan pula kerana dorongan syaitan. Walau pun bulan Ramadhan baru berlalu meninggalkan kita, namun perjuangan memerangi hawa nafsu tidak akan turut berlalu.

Oleh yang demikian diantara perkara-perkara atau amalan yang harus kita teruskan setelah kita meninggalkan bulan Ramadhan ialah :

  • Tahu menjaga masa dan menggunakan dengan sebaik-baiknya.
  • Menahan diri, perasaan, kehendak hawa nafsu dan keinginan yang tidak wajar serta yang bertentangan dengan syariat.
  • Sikap gemar bersedekah, sifat pemurah, sifat suka menolong orang dengan menghulurkan bantuan dan sifat belas ihsan.
  • Kesungguhan beribadat kepada Allah
  • Sifat suka berjemaah di masjid.
  • Sifat tabah sabar dan tahan diuji serta lain-lain lagi.

Semoga dengan bermulanya Syawal ini akan menjadi titik tolak dan azam kita untuk meneruskan segala amalan-amalan yang baik samada berupa ibadat atau perkara-perkara kebajikan.

Newer Entries