MAMPUKAH PR BERTAHAN DENGAN SERANGAN BALAS BN

3 Komen

Salam perjuangan,

Nampaknya setelah hampir masuk setahun selepas PRU 12, UMNO BN kembali menguasai isu politik semasa. Kalau dulu kita melihat UMNO BN seolah-olah berada di pihak yang bertahan dengan serangan bertubi-tubi oleh PR. Kemenangan PR di lima buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen sesungguhnya telah meletakkan UMNO-BN dalam keadaan tertekan dan terpinga-pinga. Pengisytiharan 16 september sebagai tarikh keramat pertukaran kerajaan Malaysia juga cukup membimbangkan BN.

Sekarang saya melihat seolah-olah PR pula sedang mencari rentak dan terpinga dengan serangan balas UMNO BN bermula dengan merampas Kerajaan PR di Perak melalui lompat parti diikuti dengan ugutan kepada ADUN di Kedah menyebabkan perletakakn jawatan kemudian serangan peribadi kepada ADUN/EXCO di Selangor yang juga telah mengisytiharkan bersedia meletakkan jawatan.

Semua proses di atas bukanlah berlaku secara kebetulan tetapi melalui satu perancangan yang rapi dan cukup strategik. Namun pimpinan PR nampaknya gagal menghidu serangan balas tersebut walaupun sudah banyak teguran yang di buat supaya pimpinan PR memantau dan menyelaraskan pemerintahan di 5 buah negeri serta menjadikan ianya agenda PR yang paling prioriti.  Keinginan dan kehendak untuk memerintah Malaysia lebih cepat nampaknya telah membutakan mata dan memekakkan telinga pimpinan PR  sehingga lalai dengan prioriti yang dicadangkan oleh rakyat.

Sekarang belum terlewat sekiranya pimpinan PR kembali bermuhasabah serta meletakkan semula agenda PR bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa PR adalah satu-satunya  parti alternatif yang ada kepada rakyat jika sekiranya ingin melihat sebuah negara Malaysia yang lebih harmonis, adil dan bebas rasuah.

SELAMAT HARI PEKERJA

2 Komen

Salam perjuangan

Buat semua rakan sekerja, saya mengambil peluang ini walaupun terlewat untuk mengucapkan SELAMAT HARI PEKERJA. Semoga rakan semua akan lebih bahagia dan cemerlang di dalam bidang masing-masing. Saya mengharapkan agar semua rakan sekerja akan lebih memahami fungsi masing-masing dalam menentukan hala tuju negara Malaysia yang kita sayangi ini. Sesungguhnya pekerjaan yang paling mulia ialah pekerjaan yang halal tidak kira apa pun profesyen kita.

Isu pemboikotan hari pekerja yang berkesudahan dengan CUEPACS bersetuju meneruskan sambutan tersebut, saya kira ianya adalah sebahagian dari kemenangan pekerja. Saya mengharapkan kepada pimpinan kesatuan akan lebih banyak memperjuangkan hak pekerja supaya dapat mengubah landskap politik negara pada masa akan datang. Sesungguhnya hanya kerajaan yang amanah, adil dan bersih sahaja yang akan mampu menjaga kebajikan semua golongan masyarakat. Mana mungkin orang yang merompak duit rakyat, orang yang penuh dengan kegiatan tidak bermoral akan memikirkan masalah dan kebajikan rakyatnya. Oleh itu, perjuangan para pekerja haruslah diingat bukan setakat perjuangan yang berligar disekitar periuk nasi kita sahaja tetapi kita mestilah memacu perubahan di kalangan minda rakyat supaya turut mempunyai keinginan dan kesedaran yang tinggi untuk sama-sama melihat masa depan negara yang lebih terjamin di bawah pimpinan yang lebih jujur dan amanah.

Saya doakan moga ada respon yang positif dari Paklah pada 10 mei ini sempena perhimpunan hari pekerja sektor awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) atas segala tuntutan cuepacs iaitu menuntut pencen berdasarkan jumlah sebenar perkhidmatan, menambah had umur persaraan dari 56 kepada 60 tahun, memansuhkan PTK, memberi semula elaun kritikal bagi kakitangan awam sokongan II dan menaikkan elaun perumahan. Di samping itu, saya juga meminta supaya Paklah memberikan respon yang sewajarnya di atas tuntutan satu lagi NGO terdiri rai pekerja pelbagai sektor, institusi masyarakat, petani dan orang asli yang dikenali sebagai JERIT singkatan dari Jaringan Rakyat Tertindas yang telah mengemukakan tuntutan mereka di dewan SMK(J) Cina confucian 1 mei iaitu, memansuhkan ISA, memansuhkan AUKU, hak kebebasan untuk akhbar dan maklumat, perumahan yang selesa untuk petani dan pekerja ladang, SKIM Perumahan Rakyat mampu milik, menolak pengkorpratan sektor pertanian, menjaga kebajikan pekerja migran, menghentikan rundingan FTA, Menubuhkan suruhanjaya bebas tanah adat orang asli dan menggubal undang-undang anti gangguan seksual terhadap wanita.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin persatuan  CUEPACS, MTUC dan JERIT di atas kesungguhan dan kesediaan untuk terus memperjuangkan kebajikan pekerja masing-masing. Saya kira hanya Allah sahaja yang mampu membalas pengorbanan kalian semua. Akhirnya, saya mendoakan semoga sambutan hari pekerja pada tahun ini lebih meriah dan lebih bermakna untuk pekerja, agama dan negara berbanding sambutan di tahun lalu.

Sekian, wassalam.

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Yang menurut perintah

MOHAMAD NURI MAT YAACOB – Ketua DPPKKK