APA ZAHID HAMIDI Mau ?

Tinggalkan komen

JUHAM mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional yang bersikap bacul dan dayus kerana menjalankan penangkapan dan pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Pakatan Rakyat di sebalik bayangan Akta Hasutan. 
 
Pada masa yang sama, Menteri Dalam Negeri yang baru dilantik; Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilihat seolah-olah cuba membuktikan sesuatu kepada Perdana Menteri apabila bersikap menggila secara tiba-tiba dengan berterusan membuat tangkapan demi tangkapan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat termasuk membuat rampasan terhadap akhbar-akhbar lidah rasmi Pakatan Rakyat. 
 
Tindakan menggila Dato Zahid Hamidi ini seumpama budak suruhan yang dicucuk hidungnya dan menurut apa sahaja yang diarahkan oleh tuannya secara membuta tuli demi membuktikan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi.
 
Sikap menggila Ahmad Zahid Hamidi ini bertambah tatkala Perhimpunan Agung UMNO tahun ini akan berlakunya pemilihan yang akan menyaksikan para pemilih UMNO akan menentukan sama ada kepimpinan UMNO yang ada masih relevan untuk dikekalkan tatkala undi popular Barisan Nasional serta keputusan Pilihanraya Umum ke-13 terus menyaksikan wujudnya petunjuk prima facie bahawa UMNO dan Barisan Nasional sedang menuju kepupusan. 
 
Malangnya, kerakusan serta keangkuhan Ahmad Zahid Hamidi ini telah dilampiaskan kepada rakyat yang semakin berani dan bersatu untuk menamatkan terus riwayat UMNO dan Barisan Nasional dari muka bumi ini. Akibatnya, ugutan demi ugutan telah dibuat bagi menghalang rakyat dari terus mara ke hadapan. 
 
Ahmad Zahid Hamidi mungkin tidak sedar bahawa tindakannya kini seolah-olah kembali ke zaman batu dan jahiliyyah apabila mengamalkan undang-undang rimba dan tidak menghormati kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Maka tidak hairanlah sahabat karibnya yang digugurkan dari barisan kabinet, Datuk Seri Noh Omar telah mengajak rakyat untuk tinggal di dalam hutan. Mungkin hutan rimba ini amat sinonim dengan pemikiran rimba dan jahiliyyah  Ahmad Zahid Hamidi dan budak-budak suruhan sepertinya  di dalam UMNO dan Barisan Nasional.
 
Walau bagaimanapun, JUHAM mengalu-alukan kezaliman demi kezaliman yang dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi yang ditunggang oleh UMNO dan Barisan Nasional ini, kerana ia seumpama minyak yang dicurah ke api yang akan menyemarakkan lagi penolakan rakyat terhadap mereka. 
 
Ahmad Zahid Hamidi dicabar untuk terus membuat penangkapan rimba ini, kerana JUHAM akan terus komited tanpa jemu untuk mewakili rakyat dan bertemu anjing-anjing suruhan UMNO dan Barisan Nasional di Mahkamah yang menjadi mangsa kegilaan Ahmad Zahid Hamidi ini. See you in Court!

Ahmad Zamri As’ad Khuzaimi
Pengarah JUHAM
Dewan Pemuda PAS Malaysia
 

MAAF.. KAMI ANTINAJIB

1 Komen

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM…

Tahniah Najib. Demo meme ‘world’. hehe.

Kami sebenarnya tiada pilihan kerana sistem demokrasi negara yang diamalkan menentukan bilangan kerusi parlimen dalam memerintah negara , bukan undi popular. PM adalah dari parti majoriti (UMNO-BN) dengan perkenan YDP Agong. Meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada YDP Agong menongkah arus adalah tidak wajar.

Menentang Najib menjadi PM adalah hampir mustahil. Kami terpaksa menunggu sekitar 3 atau 4 tahun lagi merubah suasana. Namun takdir Ilahi yang menentukan pilihanraya kecil yang berlaku mampu menyampaikan sedikit suara rakyat. Awas… suara Rakyat adalah suara keramat!

Pilihanraya kecil mesti memberi isyarat yang jelas bahawa kami tidak senang dengan pelbagai tuduhan pada anda. Tentunya anda tahu, PM mesti membersihkan diri dari sebarang tuduhan melalui sistem yang diyakini, bukan dengan mengelak, menghalang dan melepaskan diri dari tuduhan tersebut. Seluruh dunia akan melihat rakyat Malaysia sebagai tidak bermaruah jika isyarat pilihanraya kecil tidak memperlihatkan penentangan dan kebencian rakyat Malaysia.

Rakyat di ketiga tiga kawasan mestilah menjadi nadi isyarat penentangan tersebut. Rakyat lain pula mestilah berusaha bekerja membantu pemilih di ketiga kawasan membuat pilihan yang tepat. Apa yang berlaku bukanlah perubahan pemerintahan Malaysia, ia hanya peralihan kepada seseorang yang lebih diragui lagi.

Pemimpin mestilah seorang yang bersih. Ia juga mestilah juga dilihat bersih. Najib bukan seorang yang dilihat bersih. Belum pernah berlaku dalam sejarah satu tuduhan yang terlalu berat kepada bakal pemimpin sebuah negara. Jika rakyat menganggap tuduhan itu perkara biasa dalam politik,ia isyarat betapa rendahnya moral dan akhlak rakyat yang bakal dipimpin beliau. Rakyat Amerika pun menolak bakal presiden yang ada skandal seks atau rasuah. Negara haram Yahudi juga tidak menerima pemimpin yang tidak dilihat bersih.

SEmoga rakyat di tiga kawasan bakal menjadi suara seluruh rakyat Malaysia dalam protes awal menentang kepimpinan PM yang dipalit berbagai tuduhan moral dan jenayah.

Dalam masa yang sama, tahniah Najib!

MAMPUKAH PR BERTAHAN DENGAN SERANGAN BALAS BN

3 Komen

Salam perjuangan,

Nampaknya setelah hampir masuk setahun selepas PRU 12, UMNO BN kembali menguasai isu politik semasa. Kalau dulu kita melihat UMNO BN seolah-olah berada di pihak yang bertahan dengan serangan bertubi-tubi oleh PR. Kemenangan PR di lima buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen sesungguhnya telah meletakkan UMNO-BN dalam keadaan tertekan dan terpinga-pinga. Pengisytiharan 16 september sebagai tarikh keramat pertukaran kerajaan Malaysia juga cukup membimbangkan BN.

Sekarang saya melihat seolah-olah PR pula sedang mencari rentak dan terpinga dengan serangan balas UMNO BN bermula dengan merampas Kerajaan PR di Perak melalui lompat parti diikuti dengan ugutan kepada ADUN di Kedah menyebabkan perletakakn jawatan kemudian serangan peribadi kepada ADUN/EXCO di Selangor yang juga telah mengisytiharkan bersedia meletakkan jawatan.

Semua proses di atas bukanlah berlaku secara kebetulan tetapi melalui satu perancangan yang rapi dan cukup strategik. Namun pimpinan PR nampaknya gagal menghidu serangan balas tersebut walaupun sudah banyak teguran yang di buat supaya pimpinan PR memantau dan menyelaraskan pemerintahan di 5 buah negeri serta menjadikan ianya agenda PR yang paling prioriti.  Keinginan dan kehendak untuk memerintah Malaysia lebih cepat nampaknya telah membutakan mata dan memekakkan telinga pimpinan PR  sehingga lalai dengan prioriti yang dicadangkan oleh rakyat.

Sekarang belum terlewat sekiranya pimpinan PR kembali bermuhasabah serta meletakkan semula agenda PR bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa PR adalah satu-satunya  parti alternatif yang ada kepada rakyat jika sekiranya ingin melihat sebuah negara Malaysia yang lebih harmonis, adil dan bebas rasuah.

STABILKAH UMNO JIKA MEMERINTAH PERAK…

1 Komen

Salam perjuangan,

Drama politik yang berlaku cukup pantas memaksa kita semua untuk sepantas itu juga mempelajari cara menangani dengan baik. Dalam tempoh 10 hari bermula dengan pengumuman ADUN Bota dari BN mengisytiharkan menyertai PKR. Diikuti pula kehilangan dua orang EXCO Perak dari PKR yang terlibat dengan isu rasuah selama 5 hari. Pengumuman Speaker DUN Perak bahawa kedua ADUN tersebut telah meletakkan jawatan diikuti mesyuarat Khas SPR yang kemudiannya menolak untuk mengadakan pilihanraya kecil di Behrang dan Changkat Jering atas alasan surat tidak sah. Drama ini diteruskan lagi dengan pengumuman keluar PKR oleh ADUN tersebut bersama seorang lagi ADUN dari DAP bertindak menjadi ADUN Bebas seolah melengkapkan drama bersiri ini. MB perak kemudiannya mengadap Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak bagi memulangkan mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang akan memerintah Perak dengan sah. Dalam masa yang sama TPM mengadakan sidang akhbar mendakwa telah mencukupi majoriti untuk membentuk Kerajaan Perak yang baru. Pagi ini TPM bersama Menteri di JPM telah masuk mengadap Sultan Perak dan kemudiannya memmpengerusikan mesyuarat BN di Perak bersama semua parti komponen BN. Drama bersiri ini belum sempurna jika tiada kesudahannya. Sebagai penonton saya hanya mengharapkan kesudahan yang baik kepada sebuah cerita yang amat mencemaskan ini. Apa yang saya maklum kesudahannya hanya ada tiga kesudahan iaitu 1. Sultan memperkenankan pembubaran DUN Perak sebagaimana permohonan MB Perak. 2. MB Perak meletakkan jawatan. 3. Usul undi tidak percaya dalam sidang DUN akan datang. Sehingga salah satu dari tiga perkara itu tidak berlaku maka Kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih sah memerintah.

Jika ditakdirkan Kerajaan Perak bertukar tangan maka gegak gempitalah seluruh penyokong UMNO memuji Kebijaksanaan bakal PM mereka merampas negeri Perak dari PR dengan cara yang tidak bermaruah. Mungkin ini sudah menjadi amalan UMNO dari dulu,kini dan selamanya. Jika UMNO memerintah Perak adakah semua masalah dalaman UMNO untuk menghadapi sebelum, semasa dan selepas pemilihan UMNO bulan Mac ini akan turut selesai. Adakah UMNO boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa rakyat Perak dan semua rakyat Malaysia sudah bertaubat dan kembali menyokong UMNO dan kepimpinannya untuk terus memerintah. Fikirlah sebaiknya wahai pemimpin UMNO. Pandangan dari Dr Mahathir juga jelas dan jika semua ahli UMNO menerima apa yang pemimpin mereka lakukan tanpa sebarang persoalan maka seolah-olah mereka merertui amalan rasuah dan imej pemimpin yang buruk menjadi pemimpin mereka.

Berita terkini melalui buletin TV3 mengatakan Sultan Perak akan membuat keputusan pada petang ini samada membubarkan DUN Perak atau memperkenankan penubuhan Kerajaan baru Perak dari BN. Sama-samalah kita mendoakan agar Sultan Perak akan membuat keputusan yang sewajarnya dalam menangani isu yang agak konflik juga di Perak tetapi dengan pengalaman Baginda yang pakar dalam undang-undang saya jangka Sultan tidak mudah di beli oleh mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang baik bagi menyudahkan skrip drama yang sudah dimulakan oleh pengarah di sebalik tabir…

Palestin Oh Palestin

2 Komen

Salam perjuangan,

Sesungguhnya di saat pejuang PAS meraikan kemenangan yang sudah dapat di jangka, sahabat kita pejuang HAMAS sedang berhadapan dengan persoalan hidup dan mati. Ayuh kita memperkuatkan doa dan usaha untuk merasai penderitaan yang dialami oleh sahabat kita di bumi Palestine. Tanggal 23 Januari 2009 telah diputuskan oleh pimpinan supaya Demonstrasi besar-besaran diadakan sekali lagi di hadapan kedutaan Amerika yang akan dikepalai oleh Presiden PAS sendiri. Walaupun saya cuba mencadangkan supaya diadakan di hadapan bangunan kedutaan Mesir kerana kegagalan mereka untuk menolong sahabat seagama mereka. Pada malam tersebut di Taman Melewar Kuala Lumpur akan diadakan ceramah besar sempena intifadhah Palestin dan meraikan kemenangan dalam PRK Kuala Terengganu yang lepas. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan Solat Hajat Perdana dan Kutipan Dana untuk rakyat Palestine dengan target kutipan terkumpul kesemuanya ialah RM 1 juta.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas khasnya dari Pemuda PAS seluruh Kelantan dan Kubang Kerian yang telah bertungkus lumus memastikan calon Pakatan Rakyat dapat memenangi kerusi P.036 dengan selesa.  Kepada semua petugas juga yang bertungkus lumus menjayakan program solat hajat dan kutipan dana Palestine anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dan juga anjuran Parti Islam Se Malaysia PAS.  Semoga semua tindakan ini diharapkan dapat menjadi bukti di hadapan Allah SWT bahawa kita di Malaysia amat terasa keperitan dan kezaliman serta kekejaman yang dihadapi oleh sahabat rakyat Palestine. Mungkin kita juga harus berfikir, inilah kesannya jika Islam tidak didaulatkan sepenuhnya. Adakah sudah sampai masanya Imam Mahadi akan turun menyelamatkan bumi Palestine dari pencerobohan tentera Israel laknatullah.. Ya Allah hanya kepadamu aku berserah dan memohon pertolongan.. Bebaskan Rakyat Palestine dari kekejaman dan Kezaliman yang dilakukan oleh musuh nabi-nabi mu

ANTARA DUA HAJAT

Tinggalkan komen

Salam perjuangan dan pilihanraya,

Hari ini telah masuk hari ke 5 kempen PRK KT, suasana semakin rancak dengan pelbagai aktiviti di semua parti.  Di masa yang sama juga hari ini juga masuk hari ke 16 di mana 821 nyawa termasuk kanak-kanak dan wanita telah terkorban di Palestin akibat dari kekejaman tentera Israel.  Perkembangan mengenai kedua-dua peristiwa ini boleh didapati secara meluas melalui media arus perdana samada media cetak ataupun TV.  Saya kira dengan dua situasi ini akan dapat meningkatkan kesedaran setiap rakyat Malaysia untuk bangun menentang segala bentuk kezaliman samada di Palastine ataupun di Malaysia.

Marilah sama-sama kita memohon doa di samping segala bentuk usaha yang dilakukan untuk memastikan perjuangan Parti Hamas dan PAS mencapai kemenangan dalam situasi masing-masing demi untuk menegakkan perjuangan yang suci.  Menjelang 17 Januari nanti diharapkan keadaan di kedua-dua tempat ini akan memihak kepada parti yang memperjuangkan Islam.  Allahuakbar!

Pakatan Rakyat Perintah Malaysia???

2 Komen

Salam perjuangan,

Isu sensasi yang kini menghantui kerajaan BN ialah apakah pengumuman yang di buat oleh penasihat PKR bahawa PR bersedia untuk mengambilalih kepimpinan negara selewat-lewatnya september ini sekaligus menjadi Paklah sebagai ketua pembangkang negara yang baru. Bunyinya agak melucukan namun amaran yang terkini supaya kenyataan ini tidak dipandang sepi oleh parti BN datangnya dari mantan Presiden dan juga PM sendiri. Kuli sendiri juga telah mengingatkan perkara yang serupa bahawa peralihan kuasa tidak mustahil akan berlaku jika BN tidak berbuat sesuatu.

Saya sendiri rasa berbelah bahagi antara percaya atau tidak selepas DSAI tidak menunaikan janjinya untuk membuat pengumuman yang penting dalam masa 14 hari selepas tamat tempoh tahanan politiknya. Janji politik tersebut yang diulas secara meluas oleh kepimpinan PKR tetapi tidak ditunaikan oleh Penasihatnya. Walaupun mungkin ianya satu muslihat atau strategi politik namun kata orang terlajak perahu boleh di undur tetapi terlajak kata buruk padahnya. Saya bimbang kredibiliti DSAI akan tecalar sekali lagi dengan isu sensasi ini. Di mana pada waktu DSAI sekali lagi mengumumkan perkara besar maka rakyat akan mentertawakan beliau yang hanya pandai mencipta gimik sedangkan perkara sebenarnya tidak ke mana.

Pada masa yang sama, saya menaruh kepercayaan kepada pucuk pimpinan PAS untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan perjuangan dalam menangani isu sensasi ini. Saya mendapat panggilan telepon dari salah seorang pimpinan tertinggi parti yang mengatakan parti terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar berbincang isu memerintah negara bersama dalam pakatan rakyat. Walaupun kata-kata pemimpin tersebut kepada saya kedengaran seperti bergurau tetapi hati kecil saya dapat merasakan bahawa isu ini sedang ditangani dengan serius oleh kepimpinan parti. Saya sentiasa berdoa moga Allah memberikan natijah yang terbaik kepada orang-orang yang telah mewakafkan diri mereka untuk menyambung perjuangan yang di bawa oleh Nabi SAW.

Hari ini Paklah sekali lagi terpaksa tunduk kepada desakan kesatuan sekerja (CUEPACS) dengan mengumumkan beberapa insentif baru untuk golongan pekerja. Apa yang dijangkakan bahawa Paklah bersetuju menambah umur bersara kepada 58 tahun. Inilah kesannya jika kerajaan yang lemah memerintah di mana kerajaan terpaksa tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu demi menarik sokongan pekerja kepada kerajaan yang memerintah. Fenomena ini tentunya menguntungkan golongan pekerja yang telah sekian lama tertindas. Bagi menunjukkan kecekapan kerajaan maka pihak polis telahpun mengambil keterangan YB Karpal singh atas laporan menghina institusi di raja Perak dan Kelantan. Kecekapan tindakan ini seperti tindakan segera yang dilaporkan ke atas MB Selangor dan Pemimpin Utama PKR semasa mengadakan juga himpunan black 14 yang di dakwa tanpa permit. Dalam masa yang sama laporan yang di buat oleh pelbagai peringkat parti pembangkang kepada pihak kerajaan tidak secekap itu. Laporan rasuah yang diumumkan berprofail tinggi pun belum diumumkan lagi sepenuhnya baru 2 kes yang dibersihkan melalui mahkamah masih lagi berbaki 16 kes. Dimana kecekapan pihak yang berkuasa dalam hal ini ???

Fenomena di atas sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan BN yang memerintah gagal melaksanakan amanah pemerintahan dengan jujur dan penuh amanah. Oleh itu, amat wajar sekali tampuk pemerintahan negara bertukar tangan untuk memberi peluang kepada mereka yang adil, beramanah dan jujur untuk menyumbangkan bakti mereka kepada negara dan rakyat Malaysia yang tercinta.

p/s : Tak sabar menunggu impian jadi kenyataan…